KUALA LUMPUR - Polis membuat laporan berhubung tuduhan mengatakan pihaknya tidak memberi makanan selama hampir 24 jam kepada Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak semasa soal siasat berhubung isu video intim mirip seorang menteri Kabinet.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, laporan itu dibuat kerana ia merupakan tuduhan yang tidak benar.
"Kita telah buat laporan berhubung tuduhan palsu dan fitnah itu. Polis akan panggil individu terbabit yang membuat tuduhan ini untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Huzir bagaimanapun tidak mendedahkan siapa individu itu dan kenyataan lanjut tentang perkara itu akan dibuat pihaknya dalam masa terdekat.ARTIKEL BERKAITAN: Polis nafi Pengerusi PKR Perak tak diberi makan ketika direman
ARTIKEL BERKAITAN: Farhash tidak diberi makan semasa ditahan
Terdahulu, Naib Pengerusi 1 PKR Perak, Baldip Singh mendakwa Farhash Wafa yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diberi sebarang makanan selama hampir 24 jam sejak ditahan pada Selasa lepas di Johor.
Baldip kemudian dalam sidang medianya di Ipoh berkata, selain tidak diberi makanan, Farhash Wafa juga tidak tidur kerana melalui tempoh soal siasat yang panjang di Bukit Aman sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk urusan reman.
Mengulas lanjut, Huzir turut mengesahkan lima individu yang ditahan reman bagi kes video tersebut telah dibebaskan semalam selepas perintah reman mereka berakhir.
Bagaimanapun, tempoh reman bagi tiga lagi individu termasuk Haziq Abdullah Abdul Aziz dan Farhash Wafa akan tamat esok.
"Ya, tiga individu ini akan habis reman esok. Sama ada akan sambung atau tidak itu bergantung kepada keputusannya esok," katanya.
Huzir turut mengesahkan tiada tangkapan baru dibuat setakat ini.