Pas, Umno boleh bersama pertahan Islam: Hadi

Iklan
Abdul Hadi (duduk; empat, kanan) menyambut salam dan berbual bersama Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
PASIR SALAK - Pas dan Umno boleh berbeza pendapat dan berkelahi tetapi diingatkan agar tidak berlebihan kerana perjuangan mempertahankan Islam dan Melayu serta Bumiputera merupakan agenda utama.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, apabila mempunyai kepentingan bersama kedua-dua parti ini perlulah melihat kembali sejarah bersatu ketika memperjuangkan isu yang sama termasuk menentang Malaya Union serta peristiwa 13 Mei 1969.

"Walaupun kita berbeza pendapat dan pandangan selepas mencapai kemerdekaan peristiwa 13 Mei menyatukan Umno dan Pas walaupun selepas itu berpisah lagi.

"Tetapi apabila ada perkara yang menyatukan hubungan kita antara Islam, bangsa dan tanah air tidak ada yang boleh pisahkan," katanya ketika berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah di Dataran Kampung Gajah, di sini, malam ini.

Abdul Hadi juga turut mengingatkan kaum lain bahawasanya yang memulakan perjuangan menentang penjajah di negara ini adalah orang Islam dan Bumiputera sebelum kedatangan mereka.

"Ketahuilah kaum lain di Malaysia yang mula berjuang menentang penjajah adalah Islam dan Bumiputera sejak penjajahan Portugis di Melaka diketuai raja serta pemimpin ketika itu dan kamu tiada masa itu.

"Sekarang sudah tiba masanya kita (Islam) bersatu kerana nak ajak bersatu payah bila berlaku perkara begini ALHAMDULILLAH ALLAH S.W.T. satukan kita, satukan hati pemimpin-peminpin menjadi contoh kesatuan umat di negara ini," katanya.

Abdul Hadi kemudiannya menamatkan ucapannya dengan membaca doa agar Islam dan Melayu di negara ini dilindungi sambil diaminkan lebih 30,000 pengunjung yang hadir.

Sebelum itu Abdul Hadi turut sempat membaca dua rangkap pantung berbunyi;

Mat Kilau berdua pahlawan,

Menghunus keris lompat ke pagar,

Lampu hijau boleh berjalan,

Lampu merah jangan dilanggar.

Pasir tuan Pasir Salak,

Sila datang timba ikannya,

Sarang tebuan jangan dijolok,

Kalau dijolok besar padahnya.