Ella teruskan beri bantuan

Iklan

PENGALAMAN Ratu Rock Malaysia, Ella, yang ke Lubnan bagi mengikuti misi bantuan kemanusiaan untuk membantu pelarian Syria dan Palestin pada April lalu menjadi pendorong untuk beliau meneruskan usaha murni tersebut.

Menurut Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, misi kemanusiaan itu tidak hanya fokus kepada bantuan di luar negara tetapi juga dalam negara.

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH kita memang ada berbincang untuk satu lagi misi kemanusiaan. Kami mahu bantu mereka yang memerlukan di seluruh Malaysia.

"Selain membantu masyarakat tempatan, kami juga ada merancang untuk memberi bantuan kepada orang Rohingya dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Konsert Ratu 2.0 di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Iklan

Tambah wanita berusia 53 tahun itu, selepas selesai dengan misi kemanusiaan di Malaysia, dia akan meneruskan misi sama di luar negara pada tahun hadapan.

Bagaimanapun ia memerlukan perbincangan lanjut dan perancangan teliti.

Iklan

"Tak dinafikan ada perasaan takut apabila pergi ke negara bergolak dan masih ada peperangan. Tapi apabila melihat keadaan di sana, timbul perasaan sedih melihat kesengsaraan yang terpaksa dilalui, lebih-lebih lagi anak-anak kecil yang belum mengerti apa-apa.

"Itu membuatkan saya rasa nak lagi bantu kerana mereka juga amat memerlukan bantuan dari luar,” ujarnya.

Ditanya pengalamannya sepanjang berada di Lubnan, Ella berkata, mereka dibawa melihat keadaan di Selatan iaitu sempadan Palestin dan Utara Lubnan yang juga sempadan Syria.

Biarpun melalui perjalanan yang penuh cabaran termasuk pernah diarah untuk berpatah balik, namun ia tidak sedikit pun mematahkan semangatnya.

"Keadaan di sana memang sangat daif dan kotor, kalau ke sana kita tidak akan rasa geli. Lebih kepada rasa kasihan.

"Takut memang takut, faham sahajalah keadaan negara bergolak. Di mana-mana ada tentera yang berkawal.

"Pernah kami diarahkan berpatah balik tetapi lepas beberapa bantuan menerusi panggilan telefon, kami dibenarkan meneruskan perjalanan.

"Tetapi semua pengalaman yang dilalui tidak mematahkan semangat saya untuk terus menyertai misi kemanusiaan,” jelasnya.

April lalu, Ella berkolaboratif dengan organisasi Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KBB) menerusi kempen #1follower1ringgit, mengutip dan menyalurkan dana untuk mangsa perang serta pelarian Palestin dan Syria yang berada di Lubnan.

Turut sama menyertai misi tersebut adalah suami Ella, Kapten Azhar Ghazali.

Teruja kolaboratif

Sementara itu, ditanya mengenai kolaboratifnya bersama Ziana Zain dan Siti Nordiana menerusi Konsert Ratu 2.0 yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2, Sabtu lalu, Ella berkata, dia tidak menjangka sambutan luar jangkaan daripada peminat.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan ada yang tidak dapat masuk ke Auditorium Perdana dan ramai juga terpaksa duduk di tangga bagi menyaksikan persembahan kami.

"Dalam masa yang sama, saya gementar juga ketika menyampaikan lagu Kekal nyanyian asal Ziana kerana takut mengecewakan Ziana dan peminatnya. Tapi saya dah cuba sehabis baik dan alhamdulillah berjalan lancar,” katanya.