PUTRAJAYA - Pelacur dan pengusaha sebuah premis di Sungai Besi yang menjalankan kegiatan pelacuran seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila masih berani beroperasi walaupun telah beberapa kali diserbu Jabatan Imigresen Malaysia.
Serbuan terkini yang dilakukan imigresen pada petang Rabu lalu yang mana telah menahan 27 wanita warga asing dipercayai pelacur dan tujuh lelaki termasuk tiga lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, premis tersebut pada 5 Disember tahun lalu pernah diserbu imigresen dan kes pendakwaan masih dalam proses perbicaraan.
"Dalam serbuan Rabu lalu, imigresen mendapati seorang penjaga premis tempatan dan beberapa wanita warga asing yang ditahan, pernah ditahan ketika serbuan Disember lalu dan masih dalam jaminan mahkamah.
"Pengusaha premis itu giat menjalankan kegiatan pelacuran tanpa rasa takut dan bersalah walaupun telah beberapa kali diserbu dan diambil tindakan oleh imigresen," katanya pada sidang media di Putrajaya.
Khairul Dzaimee berkata, semasa serbuan Rabu lalu, terdapat tonto yang mengawasi setiap kenderaan keluar dan masuk ke premis tersebut.
"Ada juga pelacur dan penjaga premis yang cuba melarikan diri namun tindakan tersebut berjaya digagalkan melalui kepungan awal yang telah dibuat anggota imigresen di sekeliling premis.
"Premis ini juga didapati sering dikunjungi pelanggan warganegara asing seperti Iran, Jepun dan Korea," katanya.
Khairul Dzaimee menambah, semua yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan susulan.