PUCHONG - Hanya 27 batang pokok berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam akan ditebang sepanjang dua kilometer jajaran paip air dari Bandar Kinrara ke Bukit Dengkil, Puchong tanpa melibatkan kerja-kerja pengeluaran pokok.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, tiada sebarang pembalakan di kawasan tersebut sebaliknya ia adalah kerja pembinaan tangki air dan jajaran paip projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2.
Menurutnya, semua 27 pokok ditebang itu akan dibiarkan dalam hutan dan tidak dikeluarkan menggunakan jalan utama.
"Saya ingin memberikan jaminan tiada aktiviti pembalakan haram berlaku di kawasan hutan simpan (Ayer Hitam)," katanya.
Beliau berkata, pembinaan LRA Langat 2 ini penting kerana banyak pembangunan di sini dan permintaan air terawat agak tinggi serta untuk meningkatkan paras air di Selangor.
"Kawasan sepanjang 13 kilometer di Puchong akan terlibat dalam kerja-kerja pembinaan LRA Langat 2.
"Sekiranya berlaku penyelenggaraan di masa hadapan, kita akan ada simpanan air mencukupi,” katanya.
Kerja-kerja pembinaan LRA Langat 2 bagi kawasan Puchong yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun ini membabitkan pembinaan satu tangki air berkapasiti 80 juta liter dan paip air sepanjang dua kilometer.
Projek LRA Langat 2 dengan kos pembinaan berjumlah RM8 bilion, dijadual siap sepenuhnya pada 2022.