MARANG - Seorang pekerja syarikat telekomunikasi pengsan pada ketinggian lebih 30 meter ketika melakukan kerja penyelenggaraan di sebuah menara di Jenang di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Norzali Johari, 36, tidak sedarkan diri di atas menara tersebut dipercayai terkena renjatan elektrik.
Iklan
Iklan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Yahaya Hanafi berkata, ketika kejadian, mangsa bekerja seorang diri di atas menara terbabit manakala tiga lagi rakannya berada di bawah, namun apabila rakan memanggilnya mangsa tidak memberikan respons.
Katanya, bimbang dengan situasi itu, rakan mangsa cuba membantu termasuk menelefon pihak bomba sebelum sepasukan anggota diketuai PB Mohd Zafelee Mohamad dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Pihak bomba naik ke atas menara dan mengambil masa lebih 30 minit untuk menurunkan mangsa. Operasi menyelamatkan mangsa selesai sepenuhnya pada jam 5.36 petang.
"Mangsa yang berjaya dibawa turun dalam keadaan sedar itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk pemeriksaan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Yahaya berkata, pihaknya percaya mangsa terkena renjatan elektrik kerana ada kesan terbakar dan kesan cair pada peralatan yang digunakan mangsa ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di menara berkenaan.