PORT DICKSON - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kekuatan Pakatan Harapan, amat bergantung kepada perpaduan dan keutuhan ahlinya.
Beliau berkata untuk itu, semua anggota parti tidak boleh membiarkan diri terganggu dan hilang fokus dengan perkara-perkara sampingan, yang tidak ada nilai sama sekali dengan pembangunan dan hala tuju negara.
"Kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada kita, adalah untuk memperbaiki apa yang telah rosak dan memperbetulkan apa yang salah, tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.
"Kita juga perlu bertanya kepada diri kita, apakah kita akan terus mendapat mandat daripada rakyat, jika mereka melihat kita berterusan bertelagah kerana berebut kuasa tanpa sedar, kerana kita berebut-rebut itulah kita akan hilang kuasa," katanya dalam ucapan pada Majlis Temurapat Pimpinan Keadilan Pusat di sini, malam ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan pimpinan PKR pusat dan negeri.
Menyingkap kembali kejayaan PH, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata buat sebelum gabungan itu berkuasa, kesemua komponen parti telah bersama-sama mengetepikan perbezaan-perbezaan seperti dendam, marah serta rasa benci yang wujud.
"Kenapa kita boleh ketepikan itu semua? Kerana kita sedar dan nampak akan kerosakan yang telah dan sedang berlaku ketika itu, dan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara serta rakan-rakan seperjuangan mereka. Kita juga sedar jika kita tak lakukan sesuatu untuk menyekat mereka (merujuk kepada BN), masa depan negara dan anak cucu kita akan hancur berkecai.
"Kita bertemu dan berbincang. Kita bertengkar dan kemudian berdamai. Kita bercanggah pendapat dan kita juga bertolak ansur. Walaupun mungkin masih ada saki baki rasa tak puas hati terhadap beberapa perkara, kita ketepikan dan kita maju sebagai satu pasukan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Azmin tidak hadir bukan urusan saya, kata Tun M
Berbicara lanjut, perdana menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata PH juga buat julung kalinya sebagai gabungan pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, bersetuju menggunakan simbol PKR memandangkan Pendaftar Pertubuhan tidak membenarkan simbol PH digunakan.
Katanya, semua ini dilakukan kerana semua pihak dalam gabungan mengambil sikap bahawa menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia yang sayangkan negara, untuk bertindak menyekat kerosakan-kerosakan yang sedang berlaku dan dilakukan ketika itu. -Bernama