KUALA TERENGGANU - Jika kebiasaannya kita melihat kanak-kanak mengayuh ‘tricycle’ atau basikal roda tiga, bagaimana agaknya melihat orang dewasa beraksi dengan mengayuh benda yang sama?
Mengambil inspirasi daripada basikal roda tiga itu, muncul jentera baharu yang dinamakan ‘motorized drift trike’, hasil gabungan daripada basikal roda tiga dan go-kart.
Mohd Saifuddin Ibrahim, 33, yang merupakan antara penggerak kepada ‘motorized drift trike’ di Kuala Terengganu berkata, sukan ini mula dibawa masuk beberapa bulan yang lalu apabila melihat potensinya berkembang.
"Sukan ini biasanya lebih popular di sebelah Selatan tanah air seperti Seremban dan Johor, tetapi saya melihatnya berpotensi untuk berkembang di Terengganu, apatah lagi ia selamat untuk digunakan kerana lebih stabil dan tidak mudah terbalik.
"Pada asalnya, jentera ini dipanggil ‘drift trike’ dan digunakan di lereng bukit. Hasil inovasi, jentera ini dilengkapi dengan enjin dan ‘poly pipe’ bagi melicinkan pergerakannya dan ia boleh digunakan atas jalan tar,” katanya yang juga Presiden Kelab Bermotor Drift Trike Terengganu (KBDT).
Kesungguhannya untuk mempopularkan sukan ini boleh dilihat apabila sanggup bertemu dengan wakil kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan bagi meyakinkan mereka tentang potensi sukan ini.
Hasilnya, ‘motorized drift trike’ ini diperkenalkan kepada orang awam untuk sesi demo pada program Fit Malaysia yang berlangsung di Batu Burok pada 21 dan 22 Jun lalu yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut Saifuddin, kebiasaannya dia akan menjalankan latihan dengan jenteranya itu berhampiran Terengganu Equestrian Resort (TER) atau di Stadium Gong Badak.
"Sasaran saya adalah untuk menarik lebih ramai penggemar sukan baharu ini. Mereka yang berminat untuk menyertai kelab atau lebih lanjut tentang sukan ini boleh layari laman Facebook Kelab Bermotor Drift Trike Terengganu (KBDT).
"Kita juga akan menyertai Bike Week pada 28 Ogos hingga 6 September ini di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu. Saya harap penyertaan dalam karnival itu akan lebih mempopularkan sukan baharu ini,” katanya.