TANGGAPAN salah terhadap koperasi yang dimomokkan sebagai ketinggalan zaman perlu diubah.
Sebaliknya, organisasi itu sebenarnya melangkah jauh ke depan berbanding peranan awal yang dimainkannya sejak ditubuhkan pada 1922. Bagi memastikan koperasi terus relevan, pelbagai transformasi sedang diaturkan.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Hasniza Hussain dan jurufoto Asril Aswandi Shukor bersama Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh bagi mengupas hala tuju serta transformasi gerakan koperasi sebelum mencapai usia 100 tahun pada 21 Julai 2022.
Bagaimana perkembangan dan pencapaian koperasi? Apakah ia masih kekal relevan?
NORDIN: Pada awal penubuhan koperasi, kita hanya ada 11 buah koperasi dengan jumlah ahli seramai 825 orang.
Ketika itu, fungsi koperasi difokuskan untuk menyelesaikan masalah petani serta isu keberhutangan dalam kalangan kakitangan kerajaan.
Perkara itu kita tangani dan kini selepas 97 tahun, koperasi terus hidup dan bergerak ke depan.
Kini jumlah warga koperasi mencecah 6.5 juta orang dengan lebih 14,000 buah koperasi di seluruh Malaysia.
Jumlah perolehan kita ialah RM42 bilion dan aset dimiliki mencecah RM142 bilion. Ia membuktikan koperasi ialah sebuah organisasi yang hidup, walaupun ramai yang berkata kita sudah lapuk, tua dan usang.
Persepsi itu yang saya mahu betulkan bahawa koperasi sudah merentasi zaman dan mengikut peredaran semasa. Berdasarkan angka statistik itu terbukti koperasi kekal relevan, lestari dan mampu menjadi organisasi berperanan besar.
Selepas menerajui SKM pada Disember 2018, apakah transformasi yang Datuk ingin bawa?
NORDIN: Saya ini ‘orang luar,' malah bukan daripada bidang ini... tetapi apabila masuk ke dalam dunia koperasi, saya belajar dan bertekad untuk bawa perubahan memastikan koperasi bukan hanya terhad memberi manfaat kepada ahli setempat atau komuniti tertentu sahaja.
Kalau boleh koperasi dikembang luas kepada skala lebih besar seperti penglibatan dalam sektor pembuatan, pertanian, kesihatan, perumahan, hartanah dan sebagainya.
Kita mahu konsep tradisional koperasi diubah kepada konsep lebih moden.
Namun, langkah pertama yang harus dibuat adalah perubahan dan itu satu cabaran besar.
Saya mahu koperasi membawa perubahan mengikut zaman tetapi bukan diubah oleh zaman.
Untuk melaksanakan, ia memerlukan banyak proses dan warga koperasi perlu mengubah cara pemikiran mereka.
Apakah perancangan Datuk dalam memastikan langkah perubahan itu dicapai menjelang usia 100 tahun penubuhan koperasi pada 2022?
NORDIN: Kita masih ada baki tiga tahun lagi sebelum mencapai usia itu tetapi countdown perubahan itu harus bermula sekarang.
Countdown ini untuk membezakan apa yang kita sudah capai, kita buat sekarang dan tujuan masa depan.
Pada tahun ini, kita tidak meraikan Hari Koperasi Negara yang selalu disambut secara besar-besaran.
Saya berhasrat menambah kapasiti koperasi sedia ada.
Koperasi yang kita ada pelbagai dan berada pada kedudukan berbeza seperti koperasi asas masih terhad di sekolah, koperasi menengah yang mampu capai perolehan melebihi RM5 juta setahun dan kita juga ada koperasi yang boleh dianggap besar seperti Bank Rakyat dan Co-op Bank Pertama.
Ini menunjukkan kita jauh meninggalkan aktiviti konvensional dan sedang merangka pelan untuk pergi lebih jauh dengan strategi tertentu termasuk menambah kapasiti meneroka perniagaan korporat tidak lama lagi.
Selain itu, saya berhasrat menubuhkan platform digital perniagaan koperasi dengan memodenkan koperasi daripada satu gerakan tradisional kepada moden.
Saya memilih Cyberjaya sebagai lokasinya dengan menubuhkan simbolik infrastruktur atau ikon coop city.
Kita mahu jadikan ia seperti our glasshouse on the hill atau imej lebih jelas kepada masyarakat dan warga koperasi bahawa ia sebuah pusat perdagangan serta aktiviti koperasi.
Akhir sekali, saya ingin wujudkan koloni di dalam coop city dengan mengumpulkan sesiapa sahaja khususnya anak muda yang kreatif serta inovatif untuk dibantu dan diterjemahkan kemahiran mereka dalam bentuk mata pencarian.