KMJ 2019: Sultan Ibrahim singgah Li Kopitiam

Iklan
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menikmati sarapan di Li Kopitiam sewaktu Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 di Pontian pagi ini. (Gambar kecil: Tan Hai Seng)

PONTIAN - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan singgah di Li Kopitiam dekat Jalan Alsagoff pagi tadi sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019.

Ketibaan Sultan Ibrahim kira-kira jam 8.45 pagi disambut masyarakat berbilang kaum yang menunggu sejak awal pagi untuk bersama-sama menikmati sarapan pagi yang terkenal di kopitiam iaitu roti bakar, nasi lemak, bihun goreng dan kopi.

Iklan
Iklan

Turut sama Menteri Besar, Datuk Dr Sharuddin Jamal; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din dan Pegawai Daerah Pontian, Zulkifly Md Tahir.

Pemilik Li Kopitiam, Tan Hai Seng, 64, berkata, dia cukup gembira baginda sudi singgah di kopitiam pada hari pertama KMJ 2019 di Pontian.

Iklan

Hai Seng yang lebih mesra dipanggil Ati berkata, kopitiam yang diusahakan sejak mendiang bapanya Tan Kok Ein sudah berusia 80 tahun.

"Semua orang boleh makan minum di kopitiam. Senang cerita ini kopitiam untuk semua orang.

Iklan

"Bila Sultan Johor datang, saya rasa cukup terharu dan gembira," katanya.

Ati berkata, sehingga kini dia masih menggunakan kaedah tradisional dalam penyediaan kopi dan roti bakar.

"Biji kopi dikisar sendiri bagi mengekalkan rasa dan bau harum kopi. Selain itu, roti masih dibakar di atas arang.

"Tin digunakan untuk isi kopi yang dibeli pelanggan untuk dibawa pulang. Ada yang panggil 'kopi kong'.

"Harga secawan kopi RM1.40. Semua orang boleh singgah di kopitiam untuk sama-sama menikmati kopi yang sedap," katanya.

Tambahnya, sebanyak dua kilogram kopi diperlukan setiap hari dan jumlah itu meningkat sekali ganda apabila cuti umum dan cuti sekolah kerana pelanggan bertambah ramai.

"Selain kopi dan roti bakar, ada telur rebus separuh masak, nasi lemak, bihun goreng, mee goreng yang dibungkus.

"Nasi lemak, bihun dan mi goreng serta kuih-muih disediakan oleh pengusaha Melayu yang menghantarnya awal pagi ke kopitiam," katanya.

Sementara itu, Siti Zuraidah Md Ali, 42, yang sudah tujuh tahun bekerja di Li Kopitiam berkata, dia cukup selesa melayan pelanggan pelbagai kaum yang datang.

Katanya, suasana kopitiam bertukar menjadi riuh sebaik sahaja dibuka.

"Hari-hari kopitiam penuh dengan pelanggan. Ada Melayu, Cina dan India. Semuanya ceria datang bersarapan dan menghirup kopi," katanya.