SHAH ALAM – Bekas ratu cantik Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko mendakwa masih isteri kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Memetik laporan Malaysiakini, Rihana berkata, beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke Singapura pada Jun lalu untuk mendengar lafaz cerai dijatuhkan, sebaliknya berada di Rusia bersama putera pertamanya.
"Secara peribadi saya tak pernah dengar sebarang talak dijatuhkan secara bersemuka kepada saya.
"Saya di Rusia bersama dengan anak. Saya dan anak tidak pernah menjejakkan kaki ke Singapura pada Jun lalu untuk bercerai,” katanya.
Rihana turut mengutuk langkah pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan sijil perceraian membabitkan dirinya dan Sultan Muhammad V.
Menurutnya, ia adalah tindakan provokasi berikutan dia dan Sultan Muhammad V tidak pernah bercerai.
"Ia adalah tindakan provokasi. Kami tidak pernah bercerai,” katanya.
Dia turut memberitahu, perasaan sayang dan cinta pada suaminya masih menebal, malah percaya Sultan Muhammad V akan memberi sepenuh kasih sayang pada zuriat mereka.
"Saya sayangkan suami saya. Saya percaya dia akan mengambil berat mengenai anak kami,” katanya.