TANAH MERAH - Masyarakat jangan terus menghukum pelaku dan keluarga remaja perempuan yang memijak al-Quran namun perlu mushasabah diri atas kejadian itu.
Pengerusi Pakatan Harapan Tanah Merah, Bahari Mohd Nor berkata, melalui maklumat yang diperolehi remaja berkenaan merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) lembam.
Menurutnya, sepatutnya rakan sebaya atau kejiranan setempat tidak mengambil kesempatan dalam isu ini dengan terus menghukum pelaku.
"Seharusnya kita mengambil perhatian dan memberi nasihat kepada keluarga remaja itu dan menjadikan perkara ini pengajaran supaya mengawasi anak-anak remaja di luar sana," katanya.
Katanya lagi, jangan kerana kejadian ini, kita terus menghukum dan menyalahkan remaja berkenaan di atas kenaifan mereka
"Siasat dulu latar belakang keluarganya dan selami permasalahan mereka dan jangan mudah mengeluarkan kata-kata yang juga boleh mengguris perasaan keluarga," katanya.
Tambahnya lagi, dia sebagai seorang bapa yang mempunyai anak semakin meningkat remaja, penularan video itu juga memberi kesan terhadapnya.
"Sebagai bapa saya juga turut merasa sedih dengan kejadian ini memandangkan ia melibatkan perlakuan remaja perempuan dari daerah Tanah Merah.
"Apa yang kita harapkan supaya siasatan dapat dijalankan secara telus terhadap mereka yang terlibat menyebarkan video ini dan bukan hanya menyalahkan pelaku," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pijak al-Quran: Empat remaja perempuan ditahan