HASRAT seorang suami yang ingin menghadiahkan jambangan bunga segar buat isteri tercinta sempena hari lahirnya dengan membeli dalam talian (online), namun hampa apabila hanya jambangan bunga plastik diterima.
Itu antara luahan yang diterima oleh seorang pengguna Instagram (IG), Muhamad Faiz Ab Lajis, 30, didakwa ditipu oleh penjual online bagi urusan jual beli jambangan bunga, pada 15 Julai.
Katanya, dia tertarik dengan iklan dan gambar yang dimuat naik di IG penjual berkenaan hingga membuat tempahan sempena ulang tahun isterinya pada 17 Julai lalu.
"Saya membuat tempahan dan bertanya tentang pakej yang ditawarkan dalam IG itu bagi jambangan bunga segar berharga RM100.
"Seperti biasa, penjual mengatakan pakej itu ada dan boleh menghantar tempahan pada tarikh yang ditetapkan iaitu 17 Julai. Malah meminta pembayaran terlebih dahulu sebanyak RM135 termasuk kos penghantaran," katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, keesokan harinya iaitu 16 Julai, penjual menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp dengan menyatakan promosi pakej yang ditempah telah tamat tempoh.
"Penjual itu memberi alasan dengan mengatakan promosi atau pakej RM100 itu telah tamat pada 17 Julai.
"Sedangkan saya membuat tempahan pada 15 Julai. Saya berasa agak terkilan kerana 'deal' awal tidak seperti itu malah penjual juga tak sebut tentang promosi. Saya pula sudah membuat pembayaran.
"Saya bertegas untuk meminta penjual menghantar jambangan bunga pada tarikh 17 Julai seperti yang ditetapkan dan mujur dia bersetuju. Saya ingat semuanya berjalan lancar.
"Hinggalah, pada tarikh itu (17 Julai), isteri menerima jambangan bunga plastik dan tiada pun sekuntum bunga segar seperti yang dijanjikan," katanya.
Rentetan itu, dia bertindak menghubungi penjual sebanyak 20 kali namun tiada jawapan.
"Saya hubungi banyak kali, tapi tak berangkat, WhatsApp tak berbalas malah telah di 'block'.
"Saya rasa agak marah kerana masih ada penjual yang sanggup menipu," katanya yang pertama kali ditipu penjual dalam talian.
Bercerita lanjut, katanya, rupa-rupanya ramai pengguna telah menjadi mangsa namun penjual ini masih bermaharajalela.
"Penjual ini licik dengan menukar nama IG bagi menggaburi mata pengguna setiap kali penipuannya dikenal pasti.
"Saya dapati seorang pembeli juga menjadi mangsa dengan menerima jambangan bunga plastik sedangkan dia menempah jambangan bunga ros dengan harga RM300. Status ini juga tular di media sosial.
"Bukan itu sahaja, saya difahamkan, penjual ini turut didakwa memuat naik gambar tempahan bunga yang bukan miliknya sebaliknya menggunakan gambar penjual lain bagi menggaburi pelanggannya," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz menasihatkan kepada pengguna agar lebih berwaspada kepada penjual dalam talian bagi menggelakkan ditipu.