JOHOR BAHRU - Semua pemandu perkhidmatan e-hailing, teksi dan pemandu bas yang bekerja sendiri diingatkan supaya mendaftar serta mencarum Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) sehingga akhir bulan ini sebelum ia diwajibkan dan dikuatkuasakan kepada mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata sehingga 30 Jun lepas hanya 19,148 pemandu di seluruh negara direkodkan sudah mendaftar skim tersebut dan daripada jumlah itu, hanya lima peratus daripada mereka merupakan pemandu bas dari Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia.
"Hanya 967 pemandu daripada hampir 20,000 pemandu bas dari Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia yang telah berdaftar dan jumlah berkenaan sangat kecil dan kami harap lebih ramai akan mendaftar sebelum ia dikuatkuasakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Taklimat dan Pendaftaran SPS untuk Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia.
Turut hadir, Pengarah Perkeso Johor Tong Sing Chuang, Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia Mohd Rofik Mohd Yusof serta Pengerusi Persatuan Pemilik dan Pemandu Bas Sekolah Johor Bahru Md Saad Mohammad.
Mohammed Azman berkata, pelaksanaan skim berkenaan yang mula diperkenalkan 1 Jun 2017 bertujuan menjaga kebajikan para pemandu dan keluarga mereka sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.
"Apa yang disasarkan oleh kami (Perkeso) bukan untuk menyusahkan mereka (pemandu) dan bebankan mereka semua tetapi hasrat kami murni untuk jaga kebajikan mereka dan keluarga.
"Kami harap semua pemandu akan tampil sendiri memandangkan hanya tinggal 11 hari lagi sebelum kami laksanakan aktiviti penguatkuasaan secara besar-besaran yang kami telah bagi maklumat untuk pemutihan ini dari awal tahun dan kami telah pun bagi masa yang mencukupi iaitu lebih dua tahun," katanya.
Menurut Mohammed Azman, pihaknya menjangkakan seramai 120 pemandu sekitar bandar raya ini akan berdaftar dengan SPS hari ini menerusi sesi penerangan dan tadbir urus yang diadakan.
Katanya sesi penerangan dan tadbir urus hari ini merupakan peringkat kedua yang diadakan selepas peringkat pertama pada Februari lepas yang menyaksikan 158 pemandu sudah mendaftar dengan SPS.- Bernama