Setuju isytihar harta tetapi bersyarat

Iklan
Saarani (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada golongan asnaf sekitar kawasan Matang di Kuala Sepetang sambil diiringi Razman (empat dari kanan) hari ini.

KUALA SEPETANG - UMNO Perak sedia bersetuju dengan usul persendirian mewajibkan pengisytiharan harta membabitkan kesemua wakil rakyat negeri ini yang bakal dikemukakan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu ini, dengan bersyarat.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya tiada halangan usul itu dibahaskan dan diluluskan dalam sidang DUN bermula 23 Julai ini, asalkan perkara itu mengambil kira aspek keselamatan diri kesemua wakil rakyat dan ahli keluarga mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan itu bukan mudah hendak dilaksanakan kerana pendedahan maklumat jumlah nilai aset dan harta wakil rakyat dibimbangi memberi kesan negatif terhadap keselamatan mereka.

"Asalkan perkara itu dalam ruang lingkup menepati Perlembagaan Negara dan peraturan undang-undang, kita (UMNO) tiada masalah kerana tiada apa hendak disembunyikan wakil rakyat kami.

Iklan

"Namun jangan pula bila kita isytihar harta, maklumat aset harta kita didedahkan kepada umum kerana perkara itu boleh membawa ancaman keselamatan bukan sahaja kepada wakil rakyat berkenaan, bahkan seluruh ahli keluarga mereka," katanya kepada media pada majlis Moh Mengopi Bersama Datuk Saarani Mohamad (DSM) di Matan, di sini pagi ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Kamaruddin Abu Bakar.

Iklan
Saarani (tengah) dan Razman (kiri) bersemangat menyampaikan ucapan kepada lebih 50 hadirin yang turut serta dalam program Moh Mengopi Bersama Datuk Saarani Mohamad(DSM) di Matang pagi tadi.

Semalam, Sinar Harian melaporkan sidang DUN Perak akan membentangkan usul pengisytiharan harta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan yang akan bermula 23 Julai nanti.

Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, usul tersebut dikemukakan oleh ADUN Pasir Bedamar yang akan menjadikan Perak negeri pertama melaksanakan peraturan tersebut selepas Parlimen mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytihar harta.

Pelaksanaan usul tersebut hanya akan berkuat kuasa selepas ia dipersetujui secara majoriti oleh ADUN selepas dibentangkan nanti.

Dalam perkembangan lain, Saarani yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak turut mempersoalkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak mengadakan sidang DUN Perak selama tiga hari pada minggu hadapan.

Menurutnya, alasan tempoh persidangan DUN dilanjutkan berbanding pada tempoh kebiasaan sehari sebelum ini bagi membahas tiga usul termasuk satu usul persendirian juga dianggap tidak munasabah.

"Sebenarnya persidangan DUN pada bulan Julai bukan satu persidangan penting berbanding persidangan bulan November nanti yang akan membahaskan belanjawan kerajaan negeri untuk tahun hadapan.

"Memandangkan peraturan tetap menyatakan DUN tidak boleh tidak bersidang dalam tempoh enam bulan atau DUN terbatal, jadi sewaktu pentadbiran kerajaan BN dahulu kita akan mengadakan sidang DUN hanya sehari pada bulan ini untuk mematuhi peraturan.

"Jadi bila sidang DUN diadakan sampai tiga hari, kami memikirkan soalan apa hendak dibincang sedangkan ketiga-tiga usul hendak dibawa wakil rakyat kerajaan negeri sepatutnya ambil masa sehari sahaja," katanya.