Pemandu bas segera carum Skim Pekerjaan Sendiri

Iklan
Mohammed (tiga dari kiri) menyampaikan cek kepada bayaran faedah hilang upaya kekal, Zainal Abidin Zakaria.

JOHOR BAHRU - Masih ramai pemandu bas yang tidak berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS).

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga 31 Julai ini untuk semua pemandu bas mencarum sebelum penguatkuasaan dijalankan 1 Ogos ini.

Iklan
Iklan

"Ada 12 hari lagi untuk pemandu bas dan mana-mana individu yang bekerja sendiri mendaftar serta mencarum di bawah SPS sebelum kami jalankan penguatkuasaan besar-besaran.

"Kami dah mula jalankan pemutihan sejak awal tahun jadi saya rasa masa diberi cukup, jangan nanti apabila kami jalankan penguatkuasaan bagi macam-macam alasan.

Iklan

"Hasrat kami murni bukan untuk membebankan sesiapa tapi demi kebajikan keluarga jika berlaku kemalangan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Taklimat dan Pendaftaran SPS untuk Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia di Menara Perkeso hari ini.

Menurutnya, setakat 30 Jun 2019, seramai 19,148 pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas telah mendaftar dengan SPS namun daripada angka itu hanya 967 orang pemandu bas yang berdaftar dengan skim tersebut.

Iklan

"Syarat pemandu bas untuk berdaftar dengan SPS mudah sahaja iaitu mesti mempunyai Lesen Vokasional PSV. Tidak berdaftar dengan persatuan pun boleh mencarum.

"Sejak SPS dilaksanakan (2017) sehingga bulan ini, Perkeso telah menerima dan memproses 82 kes tuntutan SPS di mana 11 daripadanya melibatkan kematian, 14 kes hilang upaya kekal, dua kes penyediaan 'implant' dan selebihnya kes hilang upaya sementara," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusof meminta Perkeso memanjangkan tempoh pemutihan dengan alasan masih ramai pengusaha yang tidak mengetahui tentang skim tersebut.

"Kalau boleh saya nak minta Perkeso lanjutkan tempoh pendaftaran sebelum penguatkuasaan sebab saya yakin ramai yang tidak tahu.

"Lebih-lebih lagi yang di luar bandar, info tak sampai kepada mereka," katanya.

Beliau sempat memuji usaha Perkeso yang membela kebajikan pemandu bas dan keluarga sekiranya berlaku kemalangan.

"Kalau ikut angka 967 sahaja pemandu bas yang telah berdaftar maksudnya hanya lima peratus sahaja pemandu bas berdaftar sedangkan usaha Perkeso ini demi masa depan anda dan keluarga.

"Bayaran minima RM157.20 sahaja untuk setahun, jumlah ini bukan masalah untuk pengusaha," katanya.

Bermula 1 Ogos 2019, Perkeso akan menjalankan penguatkuasaan kepada semua pemandu sendiri yang masih ingkar dan gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Keselamatan Pekerjaan 2017.

Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.