SHAH ALAM - Adegan berpelukan antara dua pesaing jawatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli semalam memberi petunjuk positif kepada parti.
Bekas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, ia sebagai satu permulaan agar PKR menjadi parti yang matang.
"Semalam kita lihat satu adegan menarik di mana seorang bapa dari Perlis berucap meminta anak-anaknya bersatu demi kebaikan.
"Kita juga melihat seorang big brother (abang) mulakan menemui small brother (adik) dan berpelukan. Ia menunjukkan bahawa parti ini insya-ALLAH menjadi parti lebih matang pada masa akan datang," katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR ke-13, di sini hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Azmin, Rafizi berdamai?]
Ahli Parlimen Ampang itu juga berharap kepimpinan baharu berganding bahu di bawah teraju Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya berharap kita akan dapat membuat keputusan dalam satu nada kolektif. Apabila kita keluar dan bercakap dalam satu nada, kita akan disegani kawan dan digeruni BN-Umno.
"Kita lihat di atas pentas semalam kepimpinan sudah mula untuk bergabung dan perwakilan di bawah bangun bertepuk," katanya.
Bagi menunjukkan kebersatuan, Zuraida selepas itu meminta semua perwakilan saling bersalaman antara satu sama lain.
"Cuba pandang kiri kanan dan salam. Boleh? Alhamdulillah, syabas kepada semua perwakilan," katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kami tiada sebarang konflik, kata Rafizi]