PELAKON, Serina Redzuawan, 36, memberitahu isu hak penjagaan anak berhubung kes perceraian dengan bekas suami Gavin Edward O’Luanaigh masih lagi belum selesai.
Tidak mengulas lanjut, Serina ketika ditemui Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf bagaimanapun hanya berserah kepada takdir Tuhan.
"Saya selalu juga diajukan soalan mengenai hak penjagaan anak namun ia masih lagi belum selesai dan saya berserah keputusan yang bakal diterima kepada ALLAH SWT,” ujarnya dengan begitu tenang.
Pada 1 Ogos 2017, Gavin sah menceraikan Serina di Mahkamah Rendah Syariah Petaling selepas tujuh tahun melayari rumah tangga.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Tristan Tareef, 8 tahun, dan Isabella Safiyya, 6 tahun.
Dalam pada itu, pelakon drama Roda-Roda KL menyifatkan apa yang berlaku ada hikmah yang lebih baik."Mungkin kerana sebelum ini saya lupa nak berterima kasih dan bersujud kepada ALLAH, lalu Dia duga dan uji saya dengan memisahkan jodoh saya.
"Tetapi saya percaya ada hikmah yang terbaik untuk kami berdua. Mungkin kerana saya tak kuat ilmu agama untuk mendidik bekas suami sebagai mualaf.
"Mungkin jodoh baharu (suami) nanti ALLAH hadirkan yang beriman dan boleh menjaga saya? Saya tak tahu... insya-ALLAH,” luahnya.
Sementara itu, ditanya tentang penghijrahan berhijab sejak Ramadan lalu, Serina memberitahu apabila berlakon dia kini selektif.
"Berlakon boleh lagi cuma saya tengok pada naskhah yang memberi manfaat kepada penonton dan semestinya elak bersentuhan,” katanya.