Radhi Mat Din dilantik AJK Pas Kedah

Iklan
Muhamad Radhi Mat Din

ALOR SETAR - Legenda bola sepak Kedah, Muhamad Radhi Mat Din dilantik menganggotai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Kedah bagi sesi 2019/2021.

Perkara itu diumumkan Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Badan Perhubungan Pas Kedah, di Kompleks Pas Kedah, hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Muhamad Radhi antara tujuh AJK yang dilantik selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Najmi Ahmad; dan bekas Pengarah Pilihan Raya Pas Kedah, Datuk Mohd Yusuf Hussin.

"ADUN Jeneri yang juga Ketua Pembangkang Dun Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya I.

Iklan

"AJK Pas Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Kedah kini dilantik Timbalan Pesuruhjaya II, manakala Timbalan Pesuruhjaya III, Datuk Dr Mohd Hayati Othman yang juga ADUN Tokai, dikekalkan jawatan itu,” katanya.

Menurutnya, AJK lain termasuk melantik Musaddak Ahmad sebagai Setiausaha Perhubungan; Mohd Azam Abd Samat (Ketua Penerangan), Azizan Hamzah (Bendahari) serta Wan Romani Wan Salim (Pengarah Pilihan Raya).

Iklan

Ketua Dewan Ulama diterajui Syeikh Rodhi Abd Rahman; Ketua Pemuda Pas, Nurul Amin Abd Hamid manakala Datuk Aishah Ghazali kekal menerajui Dewan Muslimat.

Ahmad ketika ditanya agenda yang menjadi tumpuan sebaik menggalas amanah baharu itu, katanya, hala tuju parti diteruskan bawah kesinambungan kepimpinan terdahulu dengan memfokus agenda utama untuk kembali mentadbir Kedah.

"Kami dididik untuk tidak mengharapkan jawatan, namun setelah diberikan amanah, kami bersedia pikul dan bekerja sebaik mungkin,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama bersama UMNO, katanya, kesepakatan dua parti itu tidak tergugat dengan perubahan kepimpinan peringkat negeri.

"Kita akan terus perkukuhkan ta’awun yang menjadi agenda kami seperti diputuskan pada muktamar lalu,” katanya.

Ahmad juga yakin kerjasama Pas-UMNO sudah diterima baik semua peringkat termasuk akar umbi yang tidak menunjukkan sebarang bantahan.

"Kerjasama ini paling menarik, ahli dan penyokong dilihat lebih bersemangat berbanding kami. Kemungkinan Pas-UMNO sejak dahulu sudah bersaudara dan apabila berlakunya kerjasama ini, ia mudah dimeterai, bukan masalah besar,” katanya.

Menurutnya, terdapat cawangan parti sudah pun membuka bilik gerakan perpaduan ummah bersama untuk menghadapi PRU15 dan ini merupakan perkembangan sihat.