DUNGUN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menjadikan kambing sebagai umpan untuk menangkap seekor lagi harimau belang yang didakwa berkeliaran di Kampung Besol Lama, Bukit Besi.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kambing diletakkan dalam dua buah perangkap yang dipasang pada operasi hari ketiga hari ini untuk menarik perhatian sang belang berkenaan.
Menurutnya, inisiatif memasang perangkap itu sebagai langkah berjaga-jaga serta untuk melindungi kawasan kampung penduduk.
"Kalau ikut laporan ada dua ekor harimau (berkeliaran) di kawasan ini dan kita dah berjaya tangkap seekor.
"Jadi kita masih pasang (perangkap) ni dan kita akan pantau dalam tempoh seminggu," katanya ketika meninjau operasi itu di Kampung Besol Lama di sini hari ini.
Beliau berkata, pemantauan berterusan akan terus dilakukan di kawasan perangkap yang dikenali sebagai 'perangkap Wahab' berkenaan untuk memastikan ia berfungsi dengan baik.
"Ia juga dapat pastikan tindakan pantas dapat kita ambil sekiranya sang belang itu memasuki perangkap terbabit.
"Pada masa sama kita juga harap penduduk cepat-cepat maklum pada Perhilitan kalau nampak kelibat haiwan itu," katanya.
Selepas hampir 24 jam operasi mengesan dilakukan, seekor harimau belang jantan yang dianggarkan berusia lima tahun berjaya ditangkap kira-kira jam 3.30 petang semalam.
Kelmarin gempar di media sosial apabila tersebarnya rakaman video dan gambar harimau belang itu berkeliaran di Kampung Besol Lama, Bukit Besi dan tidak semena-mena nama Bukit Besi juga menjadi sebutan ramai.