MACHANG - Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub rela melepaskan kerusi yang disandangnya kepada Pas pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ahmad Jazlan berkata, kesediaan tersebut adalah sebahagian langkah persefahaman kerjasama politik di antara UMNO dan Pas yang dimeterai baru-baru ini.
Menurutnya, penyatuan ummah antara kedua-dua parti terbesar Melayu itu amat penting demi agama, bangsa dan negara sekali gus mengetepikan kepentingan individu.
Katanya, pembahagian kerusi pada PRU15 itu akan diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan tertinggi kedua-dua parti bagi menentukannya.
"Penyatuan ummah antara kedua-dua parti telah dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini dan menjadi titik penting untuk kedua-dua parti bangkit membela bangsa, agama dan negara.
"Soal kerusi bukan perkara pokok malah demi penyatuan ummah ini, saya sedia melepaskan kerusi Parlimen Machang jika perlu. Saya rela berkorban. Kelantan adalah contoh terbaik bagi penyatuan UMNO-Pas ini.
"Semangat bertolak ansur mesti ada. Dalam soal pengagihan kerusi, UMNO dan Pas perlu bersama-sama bagi memastikan matlamat untuk menang dalam PRU15 dapat dicapai," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang di Pusat Tranformasi Ilmu, di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong (Pas), Azhar Salleh dan Ketua Pemuda Pas Machang, Razuan Awang Hamat.
Pada PRU14, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi UMNO Kelantan mempertahankan kerusi parlimen Machang dengan majoriti 2,824 undi menewaskan calon Pas dan Bersatu.
Sementara itu, Ahmad Zahid pada ucapannya menaruh keyakinan yang tinggi bahawa Ahmad Jazlan akan terus dikekalkan pada PRU akan datang dengan meraih majoriti yang lebih tinggi hasil kerjasama UMNO-Pas.
Katanya, kerjasama baik antara kedua-dua parti tersebut dapat dilihat dengan jelas di Parlimen ini melalui gerak kerja yang sedia terjalin antara satu sama lain termasuk di peringkat akar umbi.
Dalam perkembangan yang sama, Ahmad Zahid turut meminta ahli UMNO untuk bersama-sama bangkit dan berjuang tanpa mengenal erti putus ada.
Katanya, pendekatan berhemah penting dalam memenangi kembali hati rakyat termasuk pengundi muda yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih.