DUNGUN - Hampir 100 penduduk di Kampung Besol Lama, Bukit Besi di sini merayu pihak berwajib meningkatkan liputan telekomunikasi di kampung mereka.
Rintih penduduk, mereka umpama tinggal dalam gua kerana tiada liputan telefon sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan bantuan jika berlaku kecemasan seperti kes harimau berkeliaran di kampung itu baru-baru ini.
Jamilah Hamzah, 45, berkata, mereka amat memerlukan liputan telekomunikasi memandangkan lokasi kampung itu yang dikelilingi hutan tebal terdedah dengan ancaman binatang buas.
Menurutnya, buat masa ini penduduk terpaksa pergi ke atas bukit yang terletak kira-kira 2km dari rumahnya jika mahu menggunakan telefon bimbit.
"Kalau duduk di rumah, kadang-kadang ada juga liputan tapi sekejap ada sekejap tak ada. Jadi memang kena pergi atas bukit kalau kecemasan.
"Macam akak sendiri masa nampak harimau melintas depan kedai runcit akak kelmarin (Khamis), kecut perut akak sebab terpaksa keluar dari kedai untuk telefon suami nak minta tolong," katanya.
Menurut Jamilah, ada kalanya telefon bimbit mereka mendapat liputan dari pencawang telekomunikasi terdekat di kawasan Bandar Bukit Besi, namun sangat lemah.
Katanya, penduduk pernah membuat permohonan untuk mendapatkan menara pencawang telekomunikasi di kawasan mereka tetapi ditolak disebabkan pencawang lama di Bukit Besi diletakkan atas nama Kampung Besol Lama.
"Memang susah tak ada liputan telefon lebih-lebih lagi kalau ada kes kecemasan macam bila nampak harimau. Untuk naik ke atas bukit memang makan masa.
"Macam pak cik sendiri pun kalau nak hubungi anak-anak memang terpaksa naik atas bukit itu tambah lagi semua anak pak cik duduk jauh, ada di Kedah dan juga Kuala Lumpur," katanya.
Sementara itu, Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Dungun, Hamzah Jusoh, 70, berkata, kemudahan pencawang telekomunikasi itu amat penting kepada pertubuhannya kerana memiliki ladang sawit dan durian musang king seluas 81 hektar di kawasan terbabit.
Menurutnya, di kawasan sama juga pertubuhan itu yang memiliki ahli dari 18 kampung sekitar Bukit Besi turut membela kira-kira 1,000 ekor ayam.
"Memang susah nak berhubung dengan pekerja kalau tak ada 'line' macam sekarang.
"Bila ada kes harimau sekarang, semua enam pekerja kita dah tak masuk ladang. Kita harap seekor lagi harimau dapat ditangkap selepas ini," katanya.
Kampung Besol Lama yang dibuka sejak 60 tahun lalu mempunyai kira-kira 20 rumah yang terletak agak berjauhan antara satu sama lain.
Khamis lalu, penduduk kampung itu digemparkan dengan kehadiran dua ekor harimau belang yang berkeliaran di kawasan berkenaan sehingga ia tular di laman sosial.
ARTIKEL BERKAITAN: Pak belang berkeliaran di Bukit Besi