KOTA TINGGI - UMNO yakin mampu mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus menumbangkan kerajaan sedia ada dengan tiga faktor.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, faktor pertama adalah disebabkan rakyat tidak tahan dan tidak dapat menerima pemerintahan kerajaan sekarang.
Menurutnya, rakyat mula menyesal selepas membuat perbandingan pemerintahan semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan juga kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa telah gagal.
"Kalau dahulu sebelum kita kalah, yang buruk kita sahaja. Sekarang jelas kebenarannya. Kerajaan ditubuhkan hari ini berasaskan fitnah dan pembohongan. Kerana fitnah akhirnya orang percaya lebih-lebih lagi dengan janji manis namun akhirnya kebenaran terserlah jua.
"Faktor kedua, kekuatan kita bertambah sebab Pas bersama kita. Selama ini kita bergaduh sesama kita akhirnya orang lain yang kuasai kerajaan.
"Bila kita bersama Pas jika dilihat dari sejarah PRU14 undi UMNO campur Pas adalah 75 peratus. Masa PRU14 kita dapat 79 kerusi, Pas 18 kerusi, jika ketika itu berlaku satu lawan satu maka kita boleh tambah kerusi lagi. Jika campur 30 kerusi kita ada 127 kerusi sedangkan nak bentuk kerajaan hanya perlukan 112 kerusi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Kota Tinggi di Lotus Desaru Beach Resort di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Muszaidee Makmor; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Asiah Md Ariff; Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Johan Azam Mohd Yasin dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Norlizah Noh.
Ismail Sabri berkata, sebab itulah kerjasama dengan Pas perlu diperkukuhkan untuk mendapatkan 70 peratus undi Melayu sekali gus memberi signal kepada mereka yang bukan Melayu.
Katanya, bagi faktor ketiga pula adalah had umur mengundi yang diturunkan kepada 18 tahun yang memberi kelebihan kepada parti.
"Pendaftaran pengundi automatik bagi mereka berusia 18 tahun akan menyebabkan berlaku pertambahan undi Melayu kira-kira 4 juta pengundi.
"Bermakna kelebihan kepada kita. Sebab itu saya yakin pertambahan undi muda ini akan menguntungkan kita. Walaupun kelebihan kepada kita tetapi tugas Pemuda dan Puteri untuk mendekati golongan muda agar mereka ini tidak lari," katanya.