KLANG - [VIDEO] Pergeseran dalam parti lawan tidak boleh dianggap sebagai satu nilai tambah kepada UMNO, sebaliknya apa yang perlu dilakukan adalah menjaga dan menguatkan parti sendiri terlebih dahulu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, ahli perlu bersama-sama dengan pimpinan parti untuk terus menguatkan UMNO.
"Pertama UMNO sendiri perlu dikuatkan dan pada masa sama kekuatan mesti ditingkatkan. Kedua, kita tidak boleh ada banyak nakhoda, kena ada satu. Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah kembali dan begitu juga Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) sebagai Timbalan Presiden, kita kena bersama mereka.
"Bagi peringkat negeri, semua bahagian perlu beri kerjasama kepada Datuk Mad Nadzari sebagai Pengerusi UMNO Selangor, begitu juga sayap-sayap parti," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kota Raja di Dewan Apartmen Sri Ayu Bandar Putra Klang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pergeseran yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini.
Mengulas lanjut, Noh berkata, sekiranya kekuatan parti dapat ditingkatkan, sudah pasti UMNO lebih selesa apabila bersama dengan Pas.
"Gabungan dua parti besar Melayu ini akan lebih beri kesan kepada pihak lawan. Kalau kita sudah kuatkan kedudukan kita saya percaya dan yakin mana-mana orang Melayu terutamanya yang sudah muak dengan pergolakan dalam parti mereka sama ada PKR, Amanah, Bersatu, mereka akan bersama kita," katanya.
Jelasnya, beliau percaya semua orang Melayu yang menyokong apa parti sekalipun matlamatnya adalah sama iaitu untuk membela agama, bangsa dan negara.
"Tetapi hari ini kita harap orang Melayu boleh menilai parti manakah yang benar-benar boleh mempertahankan hak Melayu dan Islam khususnya.
"Jadi prinsip saya kuatkan kita dulu, kalau ada pergolakan dalam parti lawan, kalau ada ahli mereka keluar itu satu kelebihan kepada kita. Tapi kita jangan ingat parti itu masalah kita, akan mendapat menguatkan kedudukan kita, itu tak betul. Kuatkan kita insya-ALLAH parti lawan akan jadi lemah," katanya.