Pelajari pertolongan cemas, bantu selamatkan nyawa: Dr Mahathir

Iklan
Dr Mahathir (dua, kiri) melancarkan SJAM National AED Programme pada Majlis Makan Malam Perdana 2019 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-111 (1908-2019) St. John Ambulans Malaysia (SJAM), hari ini. -Foto Bernama

KLANG - Kerajaan Malaysia menggalakkan setiap individu supaya mempelajari pertolongan cemas kerana ia mempunyai peranan yang sangat penting dalam membantu menyelamatkan nyawa mereka yang mengalami kecederaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata bantuan seperti itu boleh menjadi penambahbaikan yang sangat penting kepada keputusan perubatan sebelum bantuan perubatan tiba, dan dalam beberapa keadaan, ia juga bermakna perbezaan antara hidup dan mati.

Iklan
Iklan

"Oleh itu, saya ingin menggalakkan semua rakyat Malaysia supaya menyokong dan memberi khidmat anda kepada pertubuhan seperti St John Ambulans agar bersama-sama kita dapat melakukan perubahan dalam komuniti kita dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya pada majlis Makan Malam Perdana bersempena sambutan ulang tahun ke-111 St John Ambulans Malaysia di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Majlis St John Ambulans Malaysia, Datuk Lai See Ming.

Iklan

Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Kebangsaan St John Ambulans Malaysia berkata satu daripada sumbangan terpenting St. John Ambulans adalah usaha mereka yang tidak mengenal lelah dalam melengkapkan rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda, dengan kemahiran pertolongan cemas dan penjagaan kejururawatan.

"Menerusi usaha seperti itu, anak muda dilatih dengan kemahiran menyelamatkan nyawa dan dalam proses ini, mereka juga belajar tentang kepimpinan, semangat berpasukan, ketekunan serta pengurusan hubungan yang sangat penting dalam pembinaan negara kita.

Iklan

"Kesudahannya, sukarelawan muda ini akan mempunyai nilai belas kasihan, baik hati dan merendah diri yang sangat kukuh," katanya, dan menambah, beliau gembira apabila mendapati St. John Ambulans telah mencurah khidmat bakti kepada rakyat di negara ini sepanjang tempoh 111 tahun yang amat menakjubkan.

Beliau berkata kemajuan yang dicapai oleh St. John Ambulans sangat baik untuk dilihat, dan dalam beberapa keadaan, beliau berpeluang untuk berjumpa ramai sukarelawan berdedikasi serta mengetahui tentang tugas murni yang dijalankan oleh organisasi berkenaan.

"Memberi perkhidmatan selama lebih daripada satu abad bukanlah sesuatu yang kita temui setiap hari. Ia sememangnya pencapaian luar biasa yang bukan mudah untuk dicontohi orang lain,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut melancarkan program Defibrilasi Automatik Luar (AED) yang bertujuan membantu mengurangkan jumlah kes kematian akibat serangan jantung di tempat awam.

St John Ambulans Malaysia merancang untuk menempatkan mesin AED di beberapa tempat awam di Lembah Klang dan menyokong program pendidikan kesedaran CPR serta AED, di mana ia akan mendidik penduduk setempat tentang kepentingan mempelajari CPR dan kaedah penggunaan mesin AED untuk menyelamatkan nyawa.

Terdahulu, Dr Mahathir menyampaikan piala pusingan Pertandingan Pertolongan Cemas dan Kejururawatan Malaysia-Singapura ke-32 dan Pertandingan Pertolongan Cemas Remaja Rantau Asia Pasifik kepada para pemenang. -Bernama