SEGAMAT- Seekor kucing di Kampung Kadut Simpang Jabi di sini gemar menikmati buah-buahan serta sayur-sayuran berbanding makanan asasnya.
Pemiliknya, Buruk Hussein 70 berkata, kucing betina yang digelar sebagai Teh itu juga sangar gemar makan durian dan akan mengiau kuat sekiranya terhidu bau raja buah itu.
"Mulanya saya tidak tahu kucing gelandangan berusia setahun setengah itu mempunyai selera unik kerana sangka ia sama seperti kucing lain.
"Namun apabila saya membelah buah durian, Teh akan mengiau kuat seolah-olah meminta diberikan buah terbabit. Malah kini, apabila lambat diberikan, dia akan bising,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurut Buruk, selain gemarkan durian, Teh turut makan buah rambutan dan sayuran hijau seperti timun, jagung, kacang panjang serta taugeh mentah.
"Sebelum ini, beberapa penduduk turut mendakwa kerap melihat Teh merayau-rayau di bawah pokok durian. Mungkin mencari durian yang gugur dan sudah terkopek," katanya.
Bagaimanapun Buruk berkata, Teh tidak menolak makanan asasnya, namun jika buah dan sayuran itu diberikan kepadanya, dia lebih memilih tumbuhan berkenaan.
"Jika Teh sudah menikmati pelbagai sayuran hijau dan buahan, dia tidak lagi mahu makanan khusus untuk kucing.
"Teh bukan setakat mahu makan durian, tapi pandai memilih kerana hanya memakan durian yang baik isinya. Jika buah itu tidak matang atau busuk, ia tak akan makan,” katanya.
Katanya, Teh mampu makan tiga atau lebih ulas durian dan boleh mengulanginya dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang
"Selesai makan durian, Teh pasti akan menjilat seluruh bahagian luar bibirnya dengan berselera," katanya.