PENGENDALI PDRM FA, E Elavarasan akui kecewa dengan mutu pengadilan dalam perlawanan terakhir Liga Premier di antara pasukannya dengan Pulau Pinang di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi.
Perlawanan itu berkesudahan dengan The Cops tewas 1-2 kepada Pulau Pinang sekali gus gagal untuk dinaik pangkat ke Liga Super apabila dipintas lawannya itu dari segi beza jaringan.
Bagaimanapun, aksi tersebut dicemari dengan layangan tiga kad merah, selain berlaku adegan tumbuk menumbuk di masa kecederaan yang menyebabkan perlawanan terhenti selama beberapa minit.
Semuanya berpunca apabila pemain PDRM mendakwa lawannya sengaja melambatkan permainan sebelum berlaku tolak menolak sehingga melibatkan ramai pemain.
Menurut Elavarasan, insiden seperti itu tidak akan terjadi sekiranya pengadil bijak mengawal keadaan dan membuat keputusan yang tepat sepanjang 90 minit perlawanan.
"Saya rasa keputusan pengadil yang boleh dipertikaikan telah membuatkan permainan yang baik jadi huru-hara. Sebabmya, perlawanan ini bermula dengan sangat baik dan cukup menghiburkan ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1.
"Untuk perlawanan yang diibaratkan seperti final ini, sepatutnya pengadil kna bijak kawal keadaan, Ini, saya lihat ia dah terjadi seperti final Piala Malaysia tahun lalu.
"Sebab perlawanan tidak diurus dengan baik. jadi, saya harap pihak tertentu dapat lihat lebih teliti dalam perlawanan ini," katanya.
Pada masa sama, Elavarasan turut menyokong penuh keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia membawa pengadil dari luar negara untuk mengadili perlawanan-perlawanan penting seperti aksi final.