KUALA LUMPUR - Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menggesa tindakan segera diambil termasuk mengharamkan penjualan sejenis gula-gula dikenali sebagai 'smoke candy' dan 'ghost candy' yang dilihat memberi impak negatif khususnya kepada murid-murid sekolah.
Pengerusi MCCF, Halim Ishak berkata, penjualan gula-gula yang mampu mengeluarkan asap itu cukup membimbangkan kerana ia mampu mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku kanak-kanak untuk bertindak lebih berani iaitu mencuba menghisap rokok.
Beliau berkata, pihak berwajib perlu membuat siasatan dan penguatkuasaan yang lebih ketat juga harus dilakukan bagi memastikan gula-gula tersebut ditarik balik daripada pasaran.
Katanya, tindakan pengeluar dan pihak yang menjual gula-gula seumpama ini secara terbuka di pasaran dengan menjadikan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sebagai sasaran amat dikesali.
"Murid-murid mudah terikut-ikut dengan sesuatu benda yang baharu di pasaran tanpa mengetahui kesan buruk akibatnya terhadap kesihatan.
"Walaupun belum ada kajian dilakukan terhadap kesan dan akibat buruk pengambilan gula-gula itu, ia wajar ditarik balik dan diharamkan penjualannya. Penjualannya seolah-olah memberikan satu galakan atau pendedahan awal kepada kanak-kanak untuk berjinak-jinak dengan rokok," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, sesuatu perlu dilakukan segera bagi memastikan gejala tidak sihat ini daripada terus menular dalam kalangan kanak-kanak terutamanya ketika pihak kerajaan berusaha keras mewujudkan zon bebas rokok di seluruh negara.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 53 saat yang menunjukkan sekumpulan kanak-kanak di Pekan Papar, Sabah menghisap gula-gula itu sehingga mencetuskan kebimbangan kerana dikhuatiri boleh mendorong mereka terdedah kepada tabiat merokok di usia muda.
Dalam pada itu, Halim berkata, ibu bapa juga dinasihatkan untuk memberikan lebih perhatian kepada anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak di dalam aktiviti tidak bermanfaat ini.
"Mereka perlu buat pantauan kerana penjualan gula-gula itu kini semakin mendapat perhatian... khabarnya kanak-kanak di pekan Papar lebih rela menghabiskan duit belanja harian mereka untuk membeli gula-gula tersebut daripada membeli makanan yang berkhasiat," katanya.
Sebelum ini juga turut tular video berdurasi 30 saat di media sosial menunjukkan seorang lelaki dipercayai berusia belasan tahun menggunakan rokok elektronik (vape) yang pada asalnya berbentuk seperti jam tangan.