SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengaitkan kenaikan hutang negara baru-baru ini dengan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM32.2 bilion.
Najib memetik laporan muka hadapan sebuah akhbar tempatan yang melaporkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai berkata, jumlah hutang daripada skandal 1MDB itu meningkatkan hutang negara kepada RM741 bilion akhir tahun 2018 berbanding RM686.8 bilion pada 2017.
Bagaimanapun ujar beliau, apa yang berlaku adalah hutang yang ditanggung 1MDB tidak meningkat sejak 2016.
"Kita semua tahu bahawa hutang 1MDB tidak bertambah sejak tahun 2016. Tapi tiba-tiba hutang 1MDB pula boleh menyumbang kepada kenaikan hutang untuk tahun 2018?
ARTIKEL BERKAITAN: Memahami hutang negara
"Sendiri naikkan, PH nak salahkan 1MDB pula," tulis Najib dalam sebuah hantaran di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, beliau tidak terkejut sekiranya 1MDB turut akan dipersalahkan lagi apabila hutang negara meningkat kepada RM804 bilion pada bulan Jun 2019.
"Saya tidak hairan jika 1MDB juga akan disalahkan lagi untuk kenaikan hutang negara sebanyak RM63 bilion pada akhir tahun 2018 kepada RM804 bilion pada bulan Jun 2019 ini," jelasnya.
Tambahnya, kerajaan PH hanya memberi tumpuan kepada hutang yang ditanggung sahaja berbanding melihat sumbangan daripada pelaburan tersebut yang telah dibangunkan.
"Mereka petik hutang sahaja tapi tidak memetik aset dan apa yang telah dibangunkan oleh 1MDB.
"Kalau nak main"apa kita dapat dengan hutang RM32.2 bilion ini" mereka patut senaraikan antaranya membina dan menaik taraf lapan pangkalan udara, Projek Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion yang telah pun dijual oleh kerajaan PH kepada syarikat China pada bulan April 2019 dan penyelesaian perjanjian penjana elektrik bebas (IPP) yang lemah.
"Selain pelaburan dalam projek Tun Razak Exchange (TRX) bernilai RM40 bilion yang digelar oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebagai antara aset terbaik negara serta projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu pemandu teksi, biasiswa pelajar dan bantuan haji," katanya.
Malah kata Najib, jika laporan akhbar tersebut jujur, maka apa yang patut dipersoalkan adalah tentang manfaat diperoleh rakyat di sebalik kenaikan hutang itu.
"Apa yang kita dapat dengan kenaikan hutang negara sebanyak RM54.2 bilion pada tahun 2018 di bawah PH sedangkan banyak bantuan dan projek rakyat dimasuhkan. Apa yang kita dapat dengan kenaikan hutang negara sebanyak RM63 bilion untuk tempoh 6 bulan pertama tahun 2019 ini?," soalnya.
Najib secara sinis berkata, walaupun kerajaan PH sudah berkuasa selama 15 bulan, namun isu 1MDB dakwanya masih dijadikan bahan utama untuk propaganda mereka.