KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merakamkan ucapan takziah buat keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Sungai Isap 2 di sini pagi tadi.
Baginda menzahirkan rasa simpati buat keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian itu dan menggesa bantuan membina semula rumah mangsa segera dilakukan.
"Takziah buat keluarga mangsa kebakaran. Al-Fatihah semoga roh dicucuri rahmat dan berada bersama orang solihin dan muttaqin,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp yang disampaikan menerusi kakitangan Istana Abdul Aziz, Abdul Rahim Othman di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga terkorban kebakaran babit empat buah rumah
Dalam kejadian jam 7.45 pagi tadi itu, tiga beranak rentung sementara empat yang lain cedera dalam kebakaran empat rumah.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, dan dua anaknya Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, dan Muhamad Adam Daniel, 7.
Mereka yang cedera pula, pasangan suami isteri Norazilah Abdullah, 23, Syed Azman Syed Kassim, 25, adik Norazilah, Nor Syawalina, 19, dan suami kepada Sharifah Azlina, Hairol Khalid, 38.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, kejadian dipercayai berpunca dari bahagian tengah rumah dan punca sebenar sedang disiasat Jabatan Forensik JBPM Pahang.