SUNGAI SIPUT - UMNO Perak tidak pelik dengan penghinaan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pemimpin dan ahli UMNO kerana orang Melayu sendiri pun pernah dihinanya sebelum ini.
Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, selama ini Dr Mahathir berterusan memperlekeh orang Melayu dengan mengatakan mereka pemalas dan sebagainya apatah lagi parti yang pernah diterajuinya satu ketika dahulu.
Menurutnya, kini UMNO pula dihina kerana parti ini merupakan musuh utama kepada Bersatu.
"Itu yang saya pelik dengan Dr Mahathir, dalam dia mengatakan ahli UMNO tak guna, bodoh, sombong, perompak, pencuri, itulah yang dia minta masuk Bersatu.
"Maknanya Dr Mahathir dalam hati dia mengaku ahli umno ini cerdik. Takkan dia nak ambil orang bodoh masuk Bersatu?," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Siput di Dewan Konvensyen Sungai Siput, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas gesaan Dr Mahathir agar Bersatu tidak jadi seperti UMNO yang menghalang ahli yang lebih bijak daripada menganggotai jawatankuasa parti.
ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu jangan jadi seperti UMNO: Dr Mahathir
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput, Datuk Zolkafly Harun dan pimpinan UMNO Perak dan jawatankuasa UMNO Bahagian Sungai Siput.
Saarani berkata, pemimpin dan ahli UMNO yang cerdik tidak akan terpengaruh dengan pelawaan menyertai Bersatu.
Malah katanya, ahli-ahli UMNO tentunya rasa tercabar dengan penghinaan itu dan mereka akan bangkit menentang Dr Mahathir serta Bersatu.
"Perbuatan dia itu menghina UMNO. Ahli UMNO akan tercabar dan akan bangkit. Orang UMNO bukan boleh tidur begitu sahaja.
"Lagi kuat dia menghina, lagi kuat orang UMNO akan bangkit," katanya.