Sultan Johor dekati warga Felda Chempelak

Iklan
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan bersalaman dengan kanak-kanak di Felda Chempelak.

SEGAMAT - Rombongan Kembara Mahkota Johor 2019 diketuai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berangkat ke Felda Chempelak di Labis, di sini, sebagai destinasi pertama persinggahan bagi hari kedua.

Baginda tuanku berkenan menunggang motosikal berkuasa tinggi, ‘Harley-Davidson 2019 Road King Special Touring Bike' dari Istana Muar dan tiba di lokasi tersebut sekitar jam 8.30 pagi.

Iklan
Iklan

Sultan Ibrahim bersama keluarga Diraja Johor dan rombongan Kembara Mahkota Johor kemudiannya menaiki motosikal bagi melawat kawasan setempat serta aktiviti yang dianjurkan antaranya demonstrasi masakan cendawan goreng, memasak bubur lambuk dan minum pagi dengan belia.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar melambai rakyat yang menanti di tepi jalan.

Manakala Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah dan paduka anakanda turut berkenan menyampaikan sumbangan kebajikan, demonstrasi membuat bahulu, pameran basikal antik selain acara sukaneka.

Iklan

Di Felda Chempelak, diadakan pertandingan mengayuh basikal tua paling perlahan yang disaksikan oleh baginda tuanku bersama keluarga Diraja Johor dan rombongan kembara.

Pertandingan mengayuh basikal tua paling perlahan yang disaksikan oleh Sultan Johor.

Bagi Persatuan Kelab Speda Tua Chempelak, mereka berasa bangga dapat memperkenalkan sukan unik tersebut di hadapan Sultan Johor dan rombongan Kembara Mahkota Johor bagi edisi kali ini

Iklan

Timbalan Pengerusinya, Rosli Md Saleh berkata, sukan tersebut turut dipersembahkan di negeri lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan, namun hanya ada di Felda Chempelak sahaja untuk Johor.

"Ini adalah keunikan kami dan ramai tanya kenapa pertandingan basikal lambat, sebab basikal ini adalah basikal tua jadi bawa pun lambatlah.

"Rasa amat bangga sebenarnya dapat persembahkan di hadapan Sultan Johor dan ini adalah persembahan kedua kami sebenarnya di hadapan baginda, jadi teruja dapat menunjukkan keunikan sukan unik di Felda kami ini,” katanya.

Rosli berkata, pihaknya juga menerima undangan daripada negara jiran seperti Indonesia untuk membuat persembahan basikal tua paling perlahan.

Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman bersama Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar melihat alat sumpit yang digunakan bagi acara menyumpit belon air.

"Di Felda Chemplak, warga belia juga menunjukkan minat untuk sertai, selain untuk suka-suka, tetapi ia menunjukkan bukti bahawa basikal tua dan pertandingan seperti ini ada keunikannnya yang tersendiri," katanya.

Selepas lebih satu jam berada di lokasi, Sultan Johor bersama rombongan Kembara Mahkota Johor menuju ke SMK Seri Kota Paloh, Kluang.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berangkat dari Istana Muar ke Labis.