Prolintas lancar aplikasi mudah alih untuk pengguna hantar isyarat kecemasan

Iklan
Aplikasi mudah alih yang diperkenal Prolintas bagi memudahkan pengguna menghantar isyarat jika menghadapi masalah kecemasan.

KUALA LUMPUR - Pengguna lebuh raya di bawah kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) kini boleh menghantar isyarat kecemasan dan lokasi mereka untuk meminta bantuan daripada pasukan peronda menerusi aplikasi mudah alih yang baharu diperkenalkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, melalui aplikasi itu pengguna hanya perlu memilih jenis kecemasan dan secara automatik lokasi pengguna yang berada dalam kesulitan akan dapat dikesan oleh peronda apabila ciri Global Positioning System (GPS) dihidupkan di telefon pintar pengadu.

Iklan
Iklan

"Pelancaran aplikasi mudah alih ini adalah sebahagian daripada langkah proaktif Prolintas dalam mewujudkan komunikasi dua hala.

"Ia boleh digunakan untuk menerima maklumat trafik dan perkhidmatan lain di kesemua lebuh raya kendaliannya iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK).

Iklan

"Peronda kami akan sentiasa memantau dan bertindak dengan segera apabila menerima isyarat menerusi aplikasi mudah alih tersebut," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohammad Azlan, pelaksanaan aplikasi itu juga merupakan kesinambungan bagi kempen komunikasi Prolintas iaitu #contactlahkami yang telah dilancarkan pada Mac 2017 lalu.

Iklan

"Inisiatif ini juga adalah salah satu penambahbaikan tahap perkhidmatan kepada pengguna lebuhraya melalui teknologi digital," katanya.

Menurutnya lagi, aplikasi mudah alih baharu itu juga mesra pengguna dan boleh dimuat turun menerusi App store dan Google Play secara percuma.

"Bagi menggalakkan pengguna memuat turun aplikasi ini, Prolintas telah menyediakan baucar bernilai RM10.00 kepada 1,000 pelanggan pertama yang memuat turun aplikasi tersebut," katanya.