KUALA TERENGGANU - Hanya kerana minta diceraikan, seorang suri rumah diugut bunuh oleh suaminya dalam kejadian di Kampung Raja Baran, Chendering di sini Khamis lalu.
Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu berlaku selepas pasangan berkenaan bertengkar berpunca masalah kewangan dihadapi dan berlarutan sehingga tercetusnya pertengkaran.
Menurut sumber, difahamkan mangsa, 35, tidak tahan lagi dengan sikap suspek, 39, yang malas bekerja menyara keluarga selain disyaki terlibat dengan pengambilan dadah sebelum ini.
"Disebabkan punca itulah pasangan berkenaan selalu berkelahi dan mangsa sering meminta diceraikan tetapi suspek enggan berpisah.
"Akibatnya suspek yang terlalu marah kerana mangsa selalu memaksa diceraikan mengeluarkan kata-kata ugutan yang dia akan membunuh isterinya itu jika masih menyebut perkataan cerai itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan mangsa mendakwa sebelum ini dia sering dipukul setiap kali mereka bertengkar tetapi tidak membuat laporan polis, namun kali ini disebabkan takut dengan ugutan tersebut, wanita itu nekad membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.