KLUANG - Lebih 2,000 warga Paloh di sini menantikan kunjungan rombongan Kembara Mahkota Johor 2019 untuk bertemu dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan keluarga Diraja Johor, hari ini.
Masyarakat terdiri daripada pelbagai lapisan usia, bangsa dan latar belakang mula membanjiri padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Paloh di sini bagi menantikan keberangkatan tiba baginda Tuanku.
Suri rumah, P Susheela, 58, berkata, dia dan suaminya keluar daripada rumah awal pagi untuk merasai kemeriahan sambutan jelajah kembara.
"Walaupun cuaca panas hari ini kami tidak berganjak menanti ketibaan Tuanku Sultan Johor kerana ini pertama kali dia datang ke sini. Jadi saya tidak mahu lepas peluang.
"Dia (Sultan Ibrahim) sangat baik sebab sanggup turun padang berjumpa rakyat jelata beramah mesra dan bertanya khabar keadaan kami," katanya ketika ditemui di padang SMK Seri Kota Paloh di sini hari ini.
Sementara itu, wanita keturunan Tionghua, Hoe Mok Keaw, 49, menyifatkan Sultan Ibrahim dan kerabat diraja berjiwa rakyat apabila sanggup meredah perjalanan jauh dengan untuk mendekati rakyat.
"Tuanku Sultan Johor sangat berjiwa rakyat, baik hati malah merupakan simbol perpaduan rakyat di negeri ini dapat bersatu padu.
"Dengan adanya KMJ seperti ini kami kaum Cina, Melayu, India serta lain-lain dapat turun berkumpul ramai-ramai dan dengan ini hubungan antara kaum dapat dibina," katanya.
Terdahulu, rombongan KMJ 2019 edisi ke-22 yang diketuai Sultan Ibrahim singgah di padang SMK Seri Kota Paloh selepas berlepas dari Istana Muar sebelum ke Felda Chemplak, Labis, Segamat.
Turut berangkat, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bersama paduka anakanda.
Sifat keibuan Raja Zarith Sofiah terserlah apabila baginda mencemar duli turut serta dalam pertandingan mewarna kanak-kanak Pra-sekolah ketika melawat aktiviti di sekolah berkenaan.
Selepas 90 minit meluangkan masa bersama penduduk Paloh, rombongan meneruskan perjalanan ke Kahang di sini untuk mengisi bahan api dan ke destinasi terakhir di Dataran Teko, Mersing.