KMJ 2019: Sultan Johor kunjungi perusahaan ikan kelah

Iklan
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani plak ketika kunjungannya ke perusahaan ikan kelah Far East Planet.

MERSING - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengunjungi perusahaan ikan kelah Far East Planet yang terletak di Kampung Air Merah, di sini hari ini.

Lokasi tersebut merupakan satu-satunya pusat pembenihan ikan kelah biru di negara ini.

Iklan
Iklan

Baginda Tuanku ditemani Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim meluangkan masa hampir setengah jam di pusat pembenihan berkenaan.

Sultan Johor turut menzahirkan keterujaannya apabila berkenan bertanya mengenai spesis ikan itu yang terkenal dengan gelaran sebagai 'raja sungai'.

Iklan

Pengusaha perusahaan ikan kelah Far East Planet, Mohd Hanafi Awang berkata, Sultan Ibrahim juga kelihatan gembira dan banyak menunjukkan minat terhadap ikan hiasan itu.

"Kelah biru sangat unik dan tidak seperti ikan kelah merah yang boleh kita dapati. Ikan kelah biru hanya ada di Endau-Rompin. Ikan kelah merah kebanyakannya untuk dimakan, tetapi kelah biru adalah untuk hiasan.

Iklan

"Permintaan kelah biru juga sangat tinggi, tetapi buat masa ini saya tidak eksport ke luar negara kerana banyak permintaan dalam negara,” katanya.

Mohd Hanafi berkata, perusahaannya itu mendapat bantuan peralatan daripada Jabatan Perikanan Johor dan telah bermula sejak tahun 2012.

Katanya, sehingga kini, terdapat kira-kira 500 kelah biru dan 3,000 kelah merah di pusat pembenihan tersebut.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyaksikan ikan kelah di Far East Planet.

"Mula sekadar hobi sahaja, tetapi sekarang jadi komersial dan perniagaan ini juga membawa pulangan yang lumayan.

"Harga pasaran pula bagi seekor ikan kelah biru ukuran 12 inci adalah RM1,500 manakala kelah merah berukuran 18 inci adalah RM600. Saya harap akan ada ramai lagi orang cuba untuk mengusahakan perniagaan ini,” katanya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat tiba di destinasi terakhir bagi hari kedua Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 iaitu di Dataran Teko Mersing sekitar jam 3 petang.

Baginda Tuanku berkenan menunggang motosikal mengelilingi kawasan bandar Mersing dan beramah mesra bersama rakyat.

Selain itu, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pula berkenan melawat pameran-pameran yang disediakan selain menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf.

Manakala, paduka anakanda menyaksikan pameran dan menyertai sukan tradisional seperti laga biji getah, lawan kemuncup dan baling guli.

Hari kedua KMJ 2019 menyaksikan baginda Tuanku menjelajah sejauh 269 kilometer bermula dari Istana Muar ke Felda Chempelak diikuti dengan padang SMK Seri Kota Paloh dan Dataran Teko.