Bekalan air pulih capai tahap 97 peratus

Iklan
Kawasan yang masih belum pulih sistem bekalan air.

SHAH ALAM - Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak kelmarin kini pulih mencapai tahap 97 peratus hingga jam 6 petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, setakat ini bekalan air di Kuala Lumpur, Kuala Selangor dan Hulu Selangor sudah pulih sepenuhnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi kawasan Petaling peratus pemulihan mencapai tahap 98 peratus; Klang/Shah Alam (96 peratus) dan Gombak (97 peratus).

"Ketika ini 81 peratus daripada 9,571 akaun pelanggan di kawasan Kuala Langat sudah menerima bekalan semula.

Iklan

"Pihak kami sedang meningkatkan usaha menstabilkan aliran dan tekanan di sistem agihan dan mempercepatkan proses pemulihan bekalan air keseluruhan kawasan.

"Kami menyasarkan pemulihan bekalan seratus peratus di semua kawasan yang terjejas menjelang tengah malam ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan
Kawasan yang masih belum pulih sistem bekalan air.

Dalam pada itu, Abdul Raof berkata, bantuan bekalan melalui lori tangki air terus digerakkan ke kawasan terjejas.

Pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan dihadapi pengguna.

"Pelanggan boleh mendapatkan maklumat dan status terkini pelanggan dengan melayari laman sesawang www.syabas.com,my, Facebook Air Selangor dan Twitter @airselangor atau hubungi di talian 15300,” katanya.

Terdahulu empat loji rawatan air (LRA) termasuk LRA Fasa 1, LRA Fasa 2 dan LRA Fasa 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang terpaksa dihentikan operasi berikutan pencemaran bau di Sungai Selangor.

Sebanyak 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas susulan operasi empat loji terbabit dihentikan.