KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan kejadian banjir kilat di tiga lokasi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) susulan hujan lebat sekitar jam 4 petang tadi.
Jurucakap JBPM Kuala Lumpur berkata, kawasan terlibat adalah Kampung Sungai Penchala, berhampiran terowong Penchala Link dan Jalan Penchala Hilir, Kampung Sungai Penchala.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) TTDI dan BBP Sri Hartamas dikerahkan ke lokasi kejadian sekitar jam 5 petang melibatkan dua kejadian di kawasan perumahan dan satu kejadian banjir kilat di atas jalan raya.
"BBP TTDI menuju ke lokasi berhampiran terowong Penchala Link yang terjejas susulan limpahan air dari sebuah tapak pembinaan masuk ke atas jalan raya.
"Tebing atas tapak projek yang pecah menyebabkan limpahan air bersama tanah dan batu melimpah atas jalan.
"Anggota terlibat bertindak melakukan kerja-kerja pembersihan di laluan tersebut bagi melancarkan trafik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara banjir kilat yang berlaku di dua lokasi perumahan katanya, ia disebabkan limpahan air longkang berhampiran rumah penduduk.
"Pasukan penyelamat bertindak mengawal keadaan bagi memastikan kawasan terlibat berada dalam keadaan selamat.
"Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan mangsa," katanya.