GOMBAK - Mayat seorang lelaki Myanmar ditemukan terbaring di tepi longkang bawah jejantas berhampiran Sekolah Kebangsaan Taman Sri Gombak, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihak polis menerima panggilan dari MERS 999 Hospital Selayang memaklumkan kejadian.
Dalam kejadian jam 4.55 petang itu, mayat Mohammed Rashid yang umurnya belum dikenal pasti ditemui dalam keadaan meniarap, berpakaian lengkap dan dibasahi hujan.
Mangsa disahkan telah meninggal dunia sewaktu pemeriksaan dilakukan oleh pasukan paramedik.
"Tiada sebarang kesan kecederaan pada badan si mati dan punca kematiannya belum dapat dipastikan.
"Tiada saksi mahupun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian," katanya.
Katanya, pihak polis juga tidak menemui sebarang kesan unsur jenayah di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.