Kemelut PKR: Dalang bakal didedah?

Iklan
Anwar (kiri) dan Azmin. Gambar kecil:Wan Saidatul Fadzilah Najemudin.

Kemelut dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) kembali meruncing beberapa hari lalu ekoran sindiran pedas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada bos besarnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya ‘cermin diri’.

Tersurat atau tersirat, kenyataan pada Rabu lalu itu dilihat sebagai memulangkan paku buah keras terhadap Anwar yang lebih dulu mengeluarkan kenyataan supaya Azmin meletakkan jawatan sekiranya video intim didakwa miripnya terbukti benar.

Iklan
Iklan

Tiada apa yang salah melalui kenyataan Anwar itu, namun jawapan balas Azmin ternyata menzahirkan kemelut membara dalam PKR sejak timbulnya skandal video seks terbabit. Kemelut yang bibitnya sudah lama dihidu, sejak Langkah Kajang lagi.

Semalam masuk hari ke-40 sejak pengakuan dibuat bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz melalui sebuah video pada 12 Jun lalu bahawa dialah lelaki dalam video terbabit dengan menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sebagai pasangan ‘duetnya’.

Iklan

Bagaimanapun, isunya bukanlah sekadar video seks sejenis. Lebih besar daripada itu, ia dilihat cubaan menghancurkan karier politik individu yang dikaitkan. Lebih parah lagi, ia mungkin cubaan ‘menguburkannya hidup-hidup’.

Motif penyebaran video tersebut dengan pengakuan disifatkan tidak tahu malu Haziq masih lagi menjadi perdebatan dalam kalangan pemimpin PKR yang melihat wujudnya konspirasi terancang menjatuhkan Azmin dan masing-masing menuding sesama sendiri, memperkuatkan lagi persepsi ia kerja orang dalam.

Iklan

Kewujudan tangan ghaib sebagai pengatur konspirasi pula masih lagi misteri ketika ini. Tanpa bukti jelas, agak sukar untuk menuding mana-mana pihak terhadap usaha pembunuhan karakter pemimpin terlibat.

Azmin juga sebelum ini turut menyifatkan penyebaran video itu sebagai komplot berniat jahat menjatuhkan reputasinya, apatah lagi skandal tersebut timbul ketika isu siapa pengganti kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sedang rancak dibahaskan.

Pandangan tertumpu kepada kem Anwar, namun Anwar pada 18 Julai lalu menegaskan Azmin bukanlah saingannya untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara bagi menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kelapan.

PencapaianBagaimanapun, tidak dinafikan pencapaian politik Azmin yang membanggakan ketika ini sudah tentu menjadikannya sasaran musuh, bukan sahaja dari dalam, bahkan daripada parti lawan.

Di pihak lawan, UMNO khususnya menafikan ia sebagai dalang konspirasi politik kerana dalam keadaan moral parti itu pada kedudukan rendah ketika ini, tiada untungnya komplot sedemikian diwujudkan yang memburukkan lagi nama UMNO.

Sementara itu, kenyataan penuh cermat pihak berkuasa dalam isu tersebut turut menimbulkan tanda tanya, sekali gus menguatkan hujah mengenai kewujudan tangan ghaib, yang bukan calang-calang dalam mengatur taktik kotor itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed pada 16 Julai lalu memberitahu, pihaknya tidak akan mendedahkan apa-apa maklumat berhubung siasatan, termasuk pelaku atau dalang video tersebut.

Dr Mahathir dalam kenyataannya 17 Julai juga berkata, jenayah video seks itu adalah pakatan untuk menjatuhkan menteri kanan itu.

Ia diperkuatkan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador pada keesokannya yang mendedahkan video intim itu dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit tanpa mendedahkan siapa yang diupah.

Abdul Hamid sekali lagi menegaskan penyebaran video berkenaan adalah pakatan jahat didalangi seorang pemimpin sebuah parti politik.

Berikutan kenyataan itu, Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Amirudin Shari berpandangan dalang dan ‘kru’ terlibat dalam pembikinan dan pengedaran video itu perlu dikenakan tindakan undang-undang tanpa mengira apa jua kedudukan dan status mereka.

Gesaan turut dibuat Naib Presiden PKR, Tian Chua supaya polis membuat tangkapan dengan menyifatkan Azmin sebagai mangsa.

Melalui bukti yang ada pada pihak berkuasa dan gesaan pemimpin politik ini, mungkinkah dalang itu akan didedah sedikit masa lagi?

Dengan pendedahan itu kelak, tumpuannya sudah tentu terarah kepada motif sebenar konspirasi sama ada benar sebagaimana digembar-gemburkan.

Dari sudut lain, adakah simpati publik dan ahli-ahli PKR beralih semula kepada Azmin, lebih-lebih lagi Ketua Polis Negara memberitahu polis tidak dapat mengesahkan pelaku dalam video terbabit walaupun kebarangkaliannya tulen adalah tinggi.

Apapun, biarkan siasatan sehingga kebenarannya terbukti. Tindakan terbaik ialah membiarkan pihak berautoriti menjalankan tugasnya.