Kuala Pilah – Sepasukan anggota bomba mengambil masa hampir 45 minit untuk menyelamatkan seekor burung hantu yang terperangkap di dalam Masjid Kariah Desa Anggerik, malam tadi.
Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid, Nasarudin Zainal, 55, kehadiran burung itu disedari semasa jemaah masjid mengikuti kuliah sebaik selesai solat Subuh, Ahad lalu.
"Burung itu berada di ruangan kubah masjid. Kedudukannya yang terlalu tinggi menyukarkan kami mengambil sebarang tindakan.
"Bagaimanapun, sehingga malam burung itu dilihat masih berada di situ dan jemaah terpaksa membersihkan najisnya," katanya.
Nasarudin berkata, justeru itu pihaknya mengambil keputusan meminta bantuan pasukan bomba dan penyelamat balai Kuala Pilah untuk menyelamatkan burung tersebut.
Sementara itu, pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Zakaria Ramli berkata, tujuh anggota ke lokasi selepas menerima panggilan jam 9.20 malam.
"Ketika kami sampai, burung itu berada di ketinggian 10 meter. Kami terpaksa menggunakan tangga khas serta sebatang galah dalam usaha menangkap haiwan tersebut.
"Memandangkan burung ini agak aktif di waktu malam, kami bertindak menghalau burung ini dengan galah sehingga ia menjadi lemah supaya mudah ditangkap dalam masa 45 minit," katanya.