Lelaki culik wanita tolak cintanya

Iklan
Rakaman video yang tular. Gambar kecil:Noorzainy Mohd Noor

KEPALA BATAS - Hanya kerana cintanya ditolak, seorang lelaki sanggup melarikan rakan perempuannya di tempat meletak kenderaan di sebuah pasar raya terkenal di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 29 tahun itu baru habis bekerja di pasar raya berkenaan sebelum kejadian kira-kira jam 10.30 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek mendatangi mangsa ketika hendak masuk ke keretanya yang diletakkan di parkir berhampiran pintu masuk pasar raya terbabit..

"Suspek berusia 27 tahun itu memasukkan tangannya melalui tingkap dan membuka pintu kereta lalu menolak mangsa ke tempat sebelah pemandu sebelum memandu laju kereta jenis Proton Iriz tersebut.

Iklan

"Seorang lelaki yang berada di tempat kejadian mendakwa terdengar suara wanita menjerit meminta tolong. Dia berusaha untuk menolong namun gagal kerana suspek memecut laju meninggalkan kawasan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Noorzainy berkata, suspek kemudiannya membawa mangsa ke kawasan pasar di Tasek Gelugor dan berhenti di situ dalam keadaan kereta berkunci dan tidak membenarkan mangsa keluar.

Iklan

"Tangan mangsa dipercayai diikat dengan tali di bahagian belakang namun suspek membukanya selepas 20 minit kemudian dan selepas satu jam suspek menghubungi abang kandungnya memberitahu mengenai tindakannya itu.

"Abang suspek yang bimbang dengan tindakan adiknya itu pergi menemui suspek dan mangsa. Mereka bertiga kemudiannya beredar ke kawasan Pantai Bersih, Butterworth menaiki kereta milik abang suspek," katanya.

Menurutnya, tujuan mereka ke pantai tersebut adalah untuk memujuk mangsa supaya tidak memanjangkan kes dan meminta suspek menyerah diri kepada polis.

"Setelah empat jam memujuk dan berbincang, suspek akhirnya bersetuju untuk menyerah diri kepada polis. Suspek dibawa abangnya bersama mangsa ke Balai Polis Kepala Batas pada jam 4.30 pagi. Suspek ditahan untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan pada mangsa mendapati, wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan enggan mendapatkan rawatan lanjut di hospital. Siasatan awal mendapati, suspek mengaku melarikan mangsa namun tidak mencederakannya selepas mangsa enggan menjalinkan hubungan dengannya," katanya.

Noorzainy berkata, sebelum ini bapa mangsa membuat laporan polis kerana suspek sering mengganggu mangsa namun kes diselesaikan dengan cara baik dan berjanji tidak akan mengganggu mangsa.

"Bagaimanapun, suspek bertindak membawa lari mangsa malam tadi sebelum bapa mangsa ke pasar raya berkenaan pada jam 11.30 malam untuk mencari anaknya itu kerana masih belum pulang.

"Lelaki itu panik selepas diberitahu mangsa dibawa lelaki berpakaian kemeja menggunakan kereta mangsa. Mangsa cuba dihubungi melalui telefon bimbitnya namun gagal," katanya.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai peniaga di pasar malam itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan dia kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah klip video berdurasi 14 saat yang sempat dirakam orang awam kebetulan berada di kawasan kejadian itu.