GEORGETOWN - Tiga warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang selepas didapati tiada pengenalan diri ketika bekerja di sangkar ikan di selatan, Pulau Aman di sini.
Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, ketiga-tiga warga asing berusia 17, 19 dan 20 tahun itu ditahan ketika sedang bekerja di dua buah sangkar berasingan di pulau berkenaan pada jam 6.20 pagi tadi.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, selain tiada pengenalan diri, ketiga-tiga warga asing itu juga tidak mempunyai permit kerja yang sah.
"Mereka ditahan pada jarak lebih kurang 2.1 dan 3.1 batu nautika selatan Pulau Aman oleh bot peronda APMM. Setelah pemeriksaan dilakukan, mereka tidak mempunyai pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
"Mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut. Pemilik sangkar yang merupakan warga tempatan telah diambil keterangan," katanya ketika dihubungi tadi.
Beliau berkata, ketiga-tiga warga asing itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana menetap dan berada di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
"Pengusaha sangkar ikan diingatkan agar tidak menggunakan pekerja asing tanpa pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
"Kita akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan lebih kerap bagi membanteras kegiatan pekerja asing di perairan negeri ini," katanya.