Pekerja pasar raya mengaku tak bersalah lakukan amang seksual

Iklan
Tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang pelanggan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja sebuah pasar raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelanggan di pasar raya berkenaan yang berusia 17 tahun pada 12 Julai lalu.

Tertuduh, Mohamad Hanafi A Wahab, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Iklan
Iklan

Lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh punggung mangsa berusia 17 tahun di sebuah kedai di Manir, di sini, jam 5 petang pada 12 Julai lalu.

Dia dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah seterusnya menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak menawarkan sebarang jaminan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Sebelum ini, ibu mangsa membuat laporan polis selepas anaknya menceritakan suspek ada memegang punggungnya ketika berada di pasar raya itu.

Sikap anak gadisnya yang kemurungan selain tidak mahu ke sekolah menyebabkan ibunya bertanya sebelum membongkar perbuatan terkutuk suspek terhadap mangsa.