NILAI - Sesi perhimpunan pagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka, Nilai di sini gempar apabila seramai 20 pelajar perempuan secara tiba-tiba diserang histeria.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, seorang pelajar yang berada di dalam tandas dikatakan menjerit sebelum ditemui pengsan.
Suasana kemudian bertukar kecoh apabila pelajar lain pula yang menjerit sehingga sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) terpaksa dihentikan.
Sementara itu, seorang pelajar tingkatan tiga yang enggan dikenali berkata, kejadian histeria di sekolah itu berlaku sejak Jumaat lalu.
"Kali pertama berlaku tak adalah seramai hari ini (semalam). Saya pun tak tahu apa puncanya, tapi dengarnya ada pelajar nampak lembaga.
"Cikgu ada panggil pengamal perubatan untuk tenangkan keadaan. Apa yang berlaku selepas itu, saya tidak pasti," katanya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, pihaknya dimaklumkan sejurus kejadian itu, pihak sekolah telah mengambil tindakan mengasingkan pelajar yang terlibat di surau.
"Pelajar lain dikumpulkan di dewan sekolah untuk bacaan Yassin. Seorang ustaz turut dipanggil bagi membantu memulihkan keadaan pelajar terlibat.
"Pihak sekolah telah hubungi ibu bapa untuk bawa anak mereka yang terkena histeria pulang, begitu juga dengan ibu bapa pelajar lain," katanya.
Menurutnya, keadaan kembali tenang pada jam 11.39 pagi dan proses P&P berjalan seperti biasa.
Beliau berkata, pelajar sesi petang tingkatan satu dan dua juga turut diarah mengadakan bacaan Yassin dan solat zohor secara berjemaah sebelum sesi pembelajaran bermula.
"Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah akan memantau kes ini dari semasa ke semasa agar kejadian tidak berulang lagi," katanya.