Kucing jumpa bayi di kawasan bakar sampah

Iklan
Mohd Norazam menunjukkan tempat bayi tersebut ditinggalkan sebelum ditemui oleh kucing betina peliharaannya.

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Seorang bayi perempuan baru dilahirkan terselamat selepas ditemui seekor kucing peliharaan penduduk berhampiran kawasan pembakaran sampah di Jalan Dusun Muda, di sini pagi tadi.

Bayi perempuan yang masih bertali pusat dan terdapat kesan darah pada anggota badan itu ditemui pada jam 8.10 pagi.

Iklan
Iklan

Pemilik kucing tersebut, Mohd Norazam Che Wahab, 31, berkata, dia sebelum itu melepaskan kucing betina peliharaannya di luar rumah namun secara tiba-tiba haiwan berkenaan terus berlari pantas ke kawasan rumput berhampiran tempat pembakaran sampah.

Katanya, dia yang bimbang kucing terbabit hilang mengikut haiwan itu berlari dan kemudian berhenti di kawasan sampah berkenaan sebelum terdengar tangisan bayi.

Iklan

"Saya dengar bayi menangis, mula-mula saya ingatkan bunyi kucing lain dan tak nampak apa-apa.

Penduduk yang membantu mendukung bayi tersebut dan membalutnya dengan sehelai tuala.

"Saya tanya jiran, mereka beritahu saya tidak ada bayi di rumah itu sebelum ternampak seorang bayi perempuan tidak berpakaian di atas rumput,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Iklan

Katanya, sebaik ternampak bayi tersebut dia kemudian berlari memanggil jiran untuk mengambil dan mengangkatnya kerana bimbang digigit semut.

"Mereka kemudian keluar ambil bayi tersebut dan balut dengan sehelai tuala. Salah seorang anak jiran pula menghubungi pihak polis untuk memaklumkan penemuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya salah seorang jiran memberitahu, ketika keluar rumah pada awal pagi tadi untuk menghantar anak ke sekolah, dia ternampak sebuah kereta berhenti dalam tempoh agak lama di kawasan penemuan bayi perempuan itu.

"Dia nampak tapi tak syak apa-apa yang pelik sampailah dia sendiri beritahu perkara itu kepada saya selepas penemuan bayi ini," katanya.

Mohd Norazam mendukung kucing peliharaannya yang membawa kepada penemuan seorang bayi perempuan di Jalan Dusun Muda.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi terbabit.

Katanya, bayi tersebut dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk pemeriksaan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.

"Sehubungan itu, saya meminta kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi balai berdekatan untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi,” katanya.