PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Baru, Selangor petang tadi berhubung kes menuntut bayaran membebaskan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, sejumlah wang juga turut dirampas semasa tangkapan dilakukan.
"Saya mengesahkan bahawa SPRM telah membuat tangkapan terhadap seorang Hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Baru, Selangor petang tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Reman peguam, DPP disambung dua hari
"Tangkapan ini berkaitan dengan kes tangkapan sebelum ini melibatkan seorang peguam dan timbalan pendakwa raya dan beberapa anggota polis baru-baru ini. Siasatan adalah berkenaan penahanan PATI yang ditahan bagi tujuan pelepasan setelah dibayar,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan tempoh reman dilanjutkan dua hari berakhir esok terhadap seorang peguam dan seorang timbalan pendakwa raya (DPP) bagi membantu siasatan kes berkenaan hari ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki, berkata enam anggota polis yang sebelum ini turut ditahan reman untuk membantu siasatan, dibebaskan hari ini.
Sebelum itu, sembilan anggota polis antara 11 ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM pada Rabu lalu kerana dipercayai terbabit kes rasuah dan rompakan membabitkan warga asing di Selangor.
Mereka ditahan atas kesalahan menerima suapan bagi melepaskan sembilan Pati daripada tahanan pihak berkuasa.
Dalam operasi khas itu, SPRM merampas wang RM100,000 dengan pecahan RM17,500 dirampas daripada peguam, manakala RM82,500 dijumpai daripada pihak DPP.
Sabtu lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menjangkakan tahun ini akan lebih ramai pegawai dan anggota polis ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk kes rasuah jika mereka tidak segera insaf.
Tegasnya, beliau sudah banyak kali menasihat dan memberi amaran pada PDRM agar menjayakan misi menghapuskan budaya rasuah namun masih ramai yang berdegil.
Beliau juga memberi amaran tidak akan berkompromi dalam kes sedemikian dan akan memastikan mereka menerima hukuman yang setimpal.