SKMM rampas set pengimbas RFID tidak diperakui

Iklan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya dan SIRIM merampas 27 set pengimbas Identifikasi Frekuensi Radio Jarak Jauh UHF (UHF RFID Long Range Reader) di sebuah syarikat penyedia penyelesaian perisian di Subang Jaya.

Menurut kenyataan SKMM hari ini, premis yang diserbu berikutan aduan awam itu disyaki memiliki dan menjual peralatan komunikasi yang tidak diperakui.

Iklan
Iklan

"Kesemua barang yang dirampas disita untuk tujuan analisis bagi membantu siasatan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana kesalahan memiliki dengan tujuan untuk menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui SIRIM.

"Jika disabitkan kesalahan, seseorang itu boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya,” menurut kenyataan itu.

Iklan

SKMM yakin usaha penguatkuasaan yang berterusan dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan peniaga bahawa memiliki dan menjual peralatan komunikasi yang tidak diperakui adalah satu kesalahan.

Menurut kenyataan itu, sebarang penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menyebabkan gangguan frekuensi kepada rangkaian komunikasi dan menjejaskan kualiti perkhidmatan.

Iklan

"Belilah kelengkapan komunikasi yang telah diperakui oleh SIRIM. Muat turun aplikasi mudah alih Check Your Label atau layari laman sesawang https://ecomm.sirim.my untuk maklumat lanjut,” menurut kenyataan itu. - Bernama