Harga minyak: Terlalu awal kaji semula belanjawan

Iklan

KUALA LUMPUR - Ahli ekonomi pada umumnya berpendapat adalah terlalu awal untuk memulakan kajian semula belanjawan berikutan harga minyak mentah yang masih tidak menentu pada masa ini.

Profesor Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Yeah Kim Leng berkata, kemerosotan harga minyak mentah adalah satu fenomena sementara, ketika menunggu perkembangan selanjutnya di bahagian penawaran.

Iklan
Iklan

"Kita perlu menunggu dan melihat sama ada ekonomi Malaysia terjejas berikutan penurunan harga minyak mentah.

"Seperti yang kita tahu, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) masih mengkaji semula potongan pengeluaran untuk menstabilkan harga.

Iklan

"Sekiranya mereka berjaya mengurangkan bekalan, harga mungkin pulih antara US$60 dan AS$70 setong, tahap yang diingini OPEC," katanya kepada Bernama

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata semalam, bahawa kerajaan tidak akan mengkaji semula Belanjawan 2019 melainkan jika harga minyak mentah purata jatuh di bawah AS$50 setong.

Iklan

Kim Leng berkata, kerajaan perlu memantau untuk melihat sama ada harga akan jatuh secara mendadak dalam tempoh enam bulan akan datang untuk memastikan sebarang kajian semula dan memastikan defisit fiskal tidak terus meluas.

"Setakat ini tahun ini, purata harga minyak mentah Brent berlegar sekitar US$71.98 setong. Selepas separuh pertama tahun depan, jika harga minyak berada di bawah AS$70 setong, yang merupakan andaian kerajaan, maka akan ada keperluan kajian semula.

"Tetapi, dengan OPEC mengkaji semula potongan pengeluaran di samping dengan prospek permintaan meningkat berikutan pertumbuhan sederhana ekonomi global, permintaan terhadap minyak akan mengukuh dengan sederhana bagi menyokong harga yang lebih tinggi," katanya.

Kim Leng juga berkata, kajian semula belanjawan itu memerlukan pemotongan perbelanjaan kerana setiap penurunan US$1 dalam harga minyak bermakna defisit RM300 juta dalam pendapatan.

"Oleh itu, kejatuhan AS$10 setong akan membawa kepada kejatuhan pendapatan yang besar, sebanyak RM3 bilion.

Kim Leng juga berpendapat, kerajaan mungkin tidak perlu membuat kajian semula belanjawan jika ia dapat mencari sumber pendapatan lain untuk mengimbangi penurunan yang termasuk pengewangan aset dan penswastaan.

Sebaliknya, beliau menambah, harga minyak yang lebih rendah bermakna kerajaan akan membayar kurang sedikit dalam subsidi minyak yang mencecah kira-kira RM3 bilion tahun ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Belanjawan 2016 telah dikaji semula apabila minyak mentah Brent mencecah US$28 setong pada 20 Januari 2016.

"Mungkin, apabila harga minyak mentah jatuh di bawah US$30 setong, itu boleh digunakan sebagai kayu pengukur sama ada perlu ada pelarasan kepada peruntukan belanjawan," katanya.

Di samping itu, beliau berkata, Petronas akan membayar dividen khas sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan tahun depan dan ini tiada kaitan dengan harga minyak semasa.

Dividen itu akan dibayar daripada rizab Petronas yang setakat 30 September 2018 berjumlah RM402 bilion, daripada keuntungan kumulatif masa lalu dan ia mencukupi untuk kerajaan meneruskan pelan perbelanjaan di bawah peruntukan Belanjawan 2019, katanya.

Sebaliknya, Pengerusi Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, kerajaan perlu mengkaji semula belanjawan secepat mungkin sebagai langkah proaktif berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu yang dihadapinya.

"Harga minyak telah jatuh dengan banyak daripada AS$70 setong, yang merupakan harga andaian kerajaan untuk Belanjawan 2019.

"Minyak West Texas Intermediate telah susut kepada AS$45 setong dan terus jatuh disebabkan ketegangan perdagangan yang berlarutan antara Amerika Syarikat dan China," katanya.

Nazri berpendapat, kerajaan perlu berada satu langkah di depan untuk mengurangkan kesan kejatuhan harga minyak.

"Ia mungkin perlu membayar harga yang lebih tinggi jika ia lambat bertindak.

"Dalam masa terdekat, kerosakan boleh berlaku"mungkin menjejaskan belanjawan seimbang yang kita ingini, antara disiplin fiskal dan pertumbuhan ekonomi," tambah Nazri. - Bernama