SHAH ALAM - Pemberian elaun untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjalani latihan praktikal di industri dilihat perlu, sebagai usaha mengurangkan beban pelajar bagi meneruskan program latihan tersebut.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia kerana tidak semua pelajar berkemampuan untuk menjalani latihan praktikal dalam tempoh masa tertentu.
"Kita tidak mahu hanya mereka yang datang daripada keluarga berkemampuan dapat akses peluang ini (menjalani latihan praktikal).
"Bagaimana pula mereka yang datang dari keluarga miskin seperti dari Sarawak dan dapat latihan praktikal di KL (Kuala Lumpur), bagaimana pelajar dapat manfaatkan peluang itu dengan keadaan masalah kewangan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Sukan Negara (ISN) di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli.
Syed Saddiq berkata demikian ketika mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang tidak bersetuju dengan cadangan beliau supaya pelajar institusi pengajian tinggi yang menjalani latihan praktikal di industri mendapat bayaran elaun.
Beliau berkata, Cuepacs perlu realistik dalam menilai isu tersebut selain melihat faedahnya kepada pelajar berkenaan.
"Kami akan adakan satu perbincangan di peringkat Kabinet demi menjaga kebajikan anak muda kita," katanya.
Semalam, Syed Saddiq dalam video yang dimuat naik di Twitternya berkata, beliau akan mengemukakan cadangan berhubung isu itu menerusi sesi Kabinet khas.
Katanya, cadangan itu penting memandangkan terdapat ramai pelajar tidak mendapat bayaran dari tempat latihan praktikal mereka. - Bernama